Berita

Negeri Sembilan salur bantuan RM115 juta demi kesejahteraan rakyat

SEREMBAN: Sejak 2019, Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan antara RM15 juta sehingga RM25 juta bagi tujuan kesejahteraan rakyat yang telah diagihkan kepada semua 36 DUN termasuk kawasan DUN Pembangkang.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (Sikamat-PH) berkata, walaupun suasana senario politik yang kerap berubah di peringkat persekutuan dan sedikit sebanyak mempengaruhi senario politik di peringkat negeri, peruntukan kesejahteraan rakyat serta inisiatif lain tetap disalurkan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang politik serta daerah mengundi kawasan DUN.

“Jumlah keseluruhan peruntukan yang telah disalurkan kepada 36 DUN bagi tujuan kesejahteraan rakyat adalah hampir mencecah sebanyak RM115 juta sejak tahun 2018.

“Pada tahun 2024, demi memenuhi Aspirasi Rakyat, Kerajaan Negeri teah memperkenalkan beberapa bantuan Baharu seperti Bantuan Keceriaan Warga Emas, Bantuan Belia Berkahwin serta Bantuan Kelahiran Baharu.

“Bagi tahun 2024 sahaja, Kerajaan Negeri telah mengagihkan sebanyak RM7.504 juta kepada 37,520 orang warga emas yang berumur 70 tahun ke atas dengan nilai sebanyak RM200 seorang setahun.

“Bantuan ini tidak mengira latar belakang pendapatan serta bangsa mahupun agama,” kata Aminuddin.

Pengantin baharu dapat bantuan RM1 juta

Sementara itu, Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri juga menyalurkan bantuan Belia Berkahwin di mana setiap pengantin baharu yang memenuhi syarat akan menerima RM500 seorang.

“Pada tahun 2024, seramai 2,085 orang pengantin baharu telah menerima bantuan ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.0425 juta.

“Bagi aspirasi kelahiran baharu pula, setiap anak akan menerima sumbangan SSPN sebanyak RM100 dan tahun 2024 telah mencatatkan sebanyak 206 bayi telah menerima bantuan ini.

“Untuk makluman semua, ketiga-tiga bantuan aspirasi ini masih diteruskan untuk tahun 2025 dan semua permohonan baru boleh dikemukakan melalui laman sesawang N9 Digital kecuali kepada warga emas yang telah menerima bantuan ini pada tahun 2024 di mana golongan ini tidak perlu lagi memohon di laman tersebut,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Seremban Jaya, P.Gunasekaren (PH) di Persidangan Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Ke-15.

Gunasekaren bertanya, berapakah jumlah penerima bagi setiap jenis bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada rakyat Negeri Sembilan sejak 2018, mengikut kategori seperti kebajikan, pendidikan, perumahan, kesihatan, dan keusahawanan?

Show More

Related Articles

Back to top button