Forum Demokrasi Athens 2025: AI dan demokrasi

ATHENS: Exco Kanan Negeri Sembilan, Dato’ Seri Jalaluddin Alias telah menghadiri Forum Demokrasi Athens di Greece.
Jalaluddin berkata, di tengah cabaran dunia yang semakin kompleks, forum ini menjadi pentas pertemuan pemimpin global, pakar dan tokoh masyarakat untuk membincangkan masa depan demokrasi.
“Ini adalah forum tahunan dan untuk tahun ini, tumpuan diberikan kepada persoalan besar iaitu mampukah AI dikawal atau ia sudah jadi teknologi liar?
“Bagaimana AI boleh bergerak seiring dengan demokrasi, bukan mengancamnya?
“Ini adalah antara intipati yang dibincangkan dalam forum kali ini,” jelas Jalaluddin.
Jalaluddin berkata, partisipasi Malaysia melambangkan suara negara kita yang lantang dalam memperjuangkan masa depan demokrasi yang inklusif, adil dan selamat di era teknologi.
“Saya dan rakan-rakan dari Negeri Sembilan disajikan dengan pelbagai ilmu baharu berkaitan AI daripada profesor Universiti Yale, Universiti Oxford, Universiti Panteion, Unversiti Lucerne, Universiti Crete, The New York Times Company dan banyak lagi.
“Insya Allah kami akan bawa pulang sesuatu untuk dimanfaatkan kepada masyarakat kita di Negeri Sembilan khususnya, dan di Malaysia amnya,” ujar Jalaluddin.
Turut serta dalam forum ini ialah Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital, Dato’ Mohd Faizal Ramli; Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman; Ketua Backbenchers Kerajaan Perpaduan (BN) yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dato’ Saiful Yazan Sulaiman, ADUN Lobak, Chew Seh Yong dan ADUN Sri Tanjung, Dr. G.Rajasekaran.