BeritaMenarik

Gaji penjawat awam dah naik, pekerja swasta bila lagi?

Gaji penjawat awam dah naik, gaji pekerja swasta bila lagi? Ini soalan yang sering ditanya.

Salah satu strategi utama kerajaan untuk menangani kos sara hidup ialah memastikan pertumbuhan gaji yang lebih seimbang kepada rakyat.

Antara keputusan pertama saya sebagai Menteri Ekonomi ialah meminta DOSM menerbitkan laporan gaji pekerja formal setiap tiga bulan sekali, menggunakan data gaji setiap pekerja formal yang ada di KWSP dan PERKESO.

Ini bagi membolehkan kerajaan merangka dasar yang lebih baik untuk menaikkan gaji dalam tempoh 10 tahun akan datang selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani.

Laporan gaji pekerja formal terkini ialah bagi suku kedua 2024 berakhir Jun 2024.

Ada beberapa perkembangan awal mengenai pertumbuhan gaji antara Jun 2023 dan Jun 2024:

Gaji median meningkat dari RM2,600 sebulan ke RM2,745 sebulan.

Gaji median ialah taburan gaji pertengahan, maknanya dari 6.73 juta pekerja yang bergaji (atau pekerja formal), bila dibandingkan gaji bagi setiap pekerja, gaji pertengahan ialah RM2,745.

Jumlah pekerja yang gaji di bawah RM2,000 sebulan telah berkurang dari 34.8 peratus dari jumlah pekerja dalam Jun 2023, kepada 32.2 peratus dalam Jun 2024.

Jumlah pekerja yang gaji antara RM2,000 ke RM5,000 telah meningkat dari 42.7 peratus dari jumlah pekerja dalam Jun 2023, kepada 43.8 peratus dalam Jun 2024.

Jumlah pekerja yang gaji melebihi RM5,000 juga telah meningkat dari 22.5 peratus dari jumlah pekerja dalam Jun 2023, kepada 24 peratus dalam Jun 2024.

Pertumbuhan gaji ini mendukung hasrat kerajaan untuk menganjakkan gaji median menjadi lebih tinggi setiap tahun agar gaji yang dinikmati setiap isi rumah menjadi lebih baik.

Pun begitu, fenomena gaji rendah ini masih menjadi cabaran kepada ekonomi negara.

Walaupun ada pertumbuhan yang menyaksikan jumlah pekerja di bawah gaji RM2,000 sebulan telah berkurang, 32.2 peratus pekerja di dalam kategori ini bersamaan dengan 2.167 juta rakyat Malaysia masih digaji RM2,000 sebulan.

Keadaan akan menjadi lebih baik bermula 2025 dengan tiga keputusan utama kerajaan berkenaan gaji pekerja:

Pertama, kenaikan gaji penjawat awam.

Kedua, kenaikan gaji pekerja swasta minima kepada RM1,700 sebulan.

Ketiga, pelaksanaan sepenuhnya gaji progresif bagi pekerja swasta dengan peruntukan awal RM200 juta bagi 2025.

Insyah Allah, keadaan gaji akan bertambah baik setiap tahun selepas ini.

Rafizi Ramli
Menteri Ekonomi

Show More

Related Articles

Back to top button