KUALA LUMPUR: Mesyuarat Special Task Force Hala Tuju Pembangunan Industri Unsur Nadir Bumi (REE) Bil. 1/2025 telah dipengerusikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, di Bilik Jawatankuasa 2, Parlimen Malaysia pada 3 Februari 2025.
Mesyuarat ini membincangkan strategi pemerkasaan industri REE dengan menekankan usaha ke arah pembangunan industri pemprosesan tempatan sebagai langkah utama, selaras dengan dasar larangan eksport bahan mentah REE yang diperkenalkan sebelum ini.
Selain itu, turut dibincangkan adalah aspek pengawalseliaan, pembangunan teknologi, dan kelestarian sumber REE bagi memastikan manfaat jangka panjang kepada negara.
Dalam mesyuarat ini, Nik Nazmi menegaskan kepentingan pengurusan lestari REE bagi mengelakkan eksploitasi sumber semula jadi tanpa kawalan.
Beliau turut berharap agar kerjasama erat antara kementerian, agensi berkaitan, dan pihak kerajaan negeri dapat memacu Malaysia sebagai hab industri REE yang berdaya saing di peringkat global.
Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli; Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha, Datuk Dr.Ching Thoo Kim.