YB Kita

Hampir 800 hadir Program Sejambak Kasih, RM44,200 disalurkan kepada warga Palong

PALONG: Program Sejambak Kasih yang berlangsung di Pusat Khidmat Rakyat DUN Palong telah mencatat kehadiran hampir 800 orang dalam suasana penuh kemeriahan dan semangat kekeluargaan.

Sambutan yang amat menggalakkan itu membuktikan sokongan padu warga Palong terhadap agenda kebajikan yang dilaksanakan.

Daripada jumlah keseluruhan kehadiran, seramai 500 orang merupakan penerima Cenderahati Sejambak Kasih.

Selain itu, bantuan turut disalurkan bagi keperluan kesihatan, pelajaran serta sokongan kepada golongan yang memerlukan.

Turut menerima sumbangan ialah warga emas termasuk insentif khas kepada kaum Cina yang menyambut Tahun Baru Cina sebagai tanda keprihatinan terhadap kepelbagaian masyarakat di kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Dato’ Mustapha Nagoor turut menyampaikan cenderahati sebagai simbol kebersamaan dan penghargaan kepada masyarakat setempat.

“Secara keseluruhan, sebanyak RM44,200 telah diperuntukkan merangkumi Cenderahati Sejambak Kasih, sumbangan warga emas sempena Tahun Baru Cina serta bantuan melalui Pusat Khidmat Rakyat DUN Palong.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang hadir, khususnya agensi yang digerakkan serta dipimpin oleh PPN-NS.

“Kerjasama erat, komitmen tinggi dan semangat kerja berpasukan antara agensi serta pimpinan menjadi kekuatan utama dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela,” kata Mustapha.

Dalam pada itu, Mustapha merakamkan penghargaan kepada pasukannya yang komited memastikan kelancaran program serta para penyumbang yang sentiasa menyokong usaha kebajikan yang dijalankan.

Beliau menegaskan komitmennya untuk terus bersama rakyat, memastikan setiap suara didengar dan setiap bantuan disampaikan sebaiknya demi membina Palong yang lebih prihatin dan sejahtera.

Show More

Related Articles

Back to top button