Berita

Hari Eksport galak pemasaran produk di peringkat dunia

SEREMBAN: Penganjuran Hari Eksport di Negeri Sembilan buat julung kalinya merupakan satu langkah penting dalam memastikan Negeri Sembilan mendapat akses yang saksama kepada peluang pasaran global.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri Sembilan melalui agensi- agensi yang dipertanggungjawabkan, sentiasa komited untuk membimbing dan melatih usahawan tempatan agar berdaya saing di peringkat global serta menyediakan sokongan promosi dan akses pasaran melalui kerjasama dengan MATRADE, MITI dan beberapa agensi berkaitan.

Dalam usaha ini, Kerajaan Negeri menggalakkan usahawan untuk melakukan inovasi serta penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti dan standard produk.

“Negeri Sembilan merupakan negeri pertama yang mempunyai jenama sendiri iaitu NS CHOICE.

“Usaha ini adalah bagi memperluas jenama negeri seperti NS CHOICE yang menjadi penanda aras kualiti produk Negeri Sembilan di pasaran antarabangsa.

“Bagi memperkukuh usaha mempromosi jenama ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak SIRIM telah melaksanakan program pembangunan produk melibatkan 30 syarikat PMKS Negeri Sembilan.

“Melalui program ini, para usahawan telah menerima bimbingan penuh dalam aspek kualiti produk, penjenamaan, persijilan dan pembungkusan, bagi memenuhi standard yang membolehkan mereka menggunakan logo NS CHOICE dengan bangga,” kata Aminuddin.

Aminuddin tambah, Kerajaan Negeri Sembilan akan sentiasa komited dalam menyokong produk tempatan agar terus berkembang dan menjadi pilihan antarabangsa.

“Hari Eksport Negeri Sembilan ini adalah bukti sokongan padu untuk menjayakan impian tersebut.

“Harapan kerajaan negeri, Hari Eksport Negeri Sembilan ini menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai eksporter baharu, sekaligus menjadikan Negeri Sembilan sebagai hab eksport yang berdaya saing di Malaysia,” ulas Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button