SEREMBAN: Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan penglibatan pihak swasta untuk bersama-sama membangunkan Negeri Sembilan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, dengan sistem sokongan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri seperti Invest NS, ia sekaligus telah membantu untuk memudahkan segala proses yang telah dilalui oleh Oval Gallery dan Sena Healthcare bagi memeterai Memorandum Persefahaman untuk membina sebuah hospital pakar swasta di Juasseh, Kuala Pilah.
“Perkhidmatan penjagaan kesihatan merupakan satu bidang yang memerlukan perhatian khusus oleh semua pihak.
“Belanjawan Madani 2025 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 18 Oktober 2025 telah memperuntukan RM45.3 bilion untuk sektor kesihatan iaitu peruntukan kedua tertinggi setelah bidang pendidikan.
“Ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan qualiti hidup rakyat, terutamanya apabila melibatkan kesihatan.
“Dalam era globalisasi hari ini, pelbagai perkara dapat dinikmati oleh rakyat dari segi teknologi, peredaran maklumat di hujung jari, kemampuan untuk merentas sempadan dalam usaha membuka peluang baru dalam bidang perniagaan dan budaya, percambahan perniagaan berasaskan e-commerce dan aktiviti perdagangan atas talian, serta membuka peluang untuk menambah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.
“Walau bagaimanapun, dengan kecanggihan era globalisasi ini juga, kita telah didedahkan dengan pelbagai fenomena baru dan kesan bawaan teknologi yang memerlukan perhatian dan kawalan terutamanya dari aspek penjagaan kesihatan,” kata Aminuddin.
Nisbah doktor satu bagi 412 penduduk
Aminuddin menambah, seluruh dunia telah menyaksikan sendiri, dan sebahagiannya juga mungkin
secara peribadi telah mengalami dan terkesan dengan impak penyakit seperti Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Fenomena seperti Covid-19 berlaku di luar jangkaan, dan dalam tempoh pandemik tersebut, dipaparkan setiap hari dengan statistik yang duka dan lara, kesemuanya impak yang dibawa akibat penyakit tersebut.
“Pastinya kita tidak mahu episod ini berulang.
“Oleh itu persediaan harus kita buat, perancangan teliti harus dilakukan, dan setiap individu bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan tahap kesihatan masing-masing dipantau setiap masa.
“Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, nisbah doktor kepada penduduk di Malaysia adalah satu doktor untuk 412 penduduk.
“Jurang yang sangat besar ini boleh kita saksikan sendiri di hospital dan pusat kesihatan milik kerajaan,
yang sentiasa dipenuhi oleh pesakit.
“Maka tidak hairanlah jika ramai pesakit yang mengadu akibat terpaksa menunggu untuk tempoh yang lama bagi mendapatkan rawatan,” jelas beliau lagi.
Tawar perkhidmatan kepada penduduk Negeri Sembilan Timur, Pahang dan Johor
Justeru itu kata Aminuddin, dengan penglibatan pihak swasta dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan
kesihatan ini, pastinya ia dapat mengurangkan bebanan dan tekanan yang dihadapi oleh rakyat.
Oleh itu, usahasama di antara Oval Gallery dan Sena Healthcare ini amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk
memastikan rakyat dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik, serta menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik untuk rakyat.
“Lokasi hospital swasta yang bakal dibina di Taman Redani, Juasseh ini amat strategik.
“Ia terletak di jalan utama yang menghubungkan Seremban-Kuala Pilah-Jempol dengan negeri jiran Johor dan
Pahang.
“Hospital ini bakal menawarkan perkhidmatan kepada penduduk-penduduk di Kuala Pilah, Jempol dan Tampin, dengan jumlah penduduk hampir setengah juta orang.
“Malah dijangkakan penduduk daripada sempadan negeri di selatan iaitu Muar dan Segamat, serta dari pantai timur iaitu di Muadzam, Rompin dan Mersing juga akan mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan,” jelas Aminuddin.
Menyumbang kepada ekonomi penduduk setempat
Menurut Aminuddin, kehadiran para professional seperti doktor-doktor pakar dan kakitangan sokongan seperti jururawat dan juruteknik juga pastinya akan meningkat.
“Ini secara langsung akan memberi sumbangan ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Ia juga seterusnya menjamin pembangunan sistem sokongan untuk perkhidmatan hospital, yang dijangkakan akan bercambah sejajar dengan kewujudan hospital ini.
“Pembukaan hospital ini juga pastinya akan membuka peluang pekerjaan bagi masyarakat sekitar.
“Ini membolehkan mereka meningkatkan pendapatan mereka dalam menghadapi keadaan ekonomi yang semakin mencabar.
“Justeru itu, hasrat Oval Gallery Sdn Bhd dan Sena Healthcare membangunkan hospital swasta ini bakal memacu pembangunan di Juasseh, dan usaha ini amatlah dialu-alukan oleh pihak kerajaan negeri,” ulas Aminuddin lagi.