BeritaMenarik

213 peneroka Felcra Bayai terima geran hak milik kekal

SERTING: Seramai 213 orang peneroka Felcra Bayai, Serting Ulu telah menerima geran hak milik kekal daripada Kerajaan Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pada penghujung tahun 2023 yang lalu, beliau telah menyempurnakan penyerahan hakmilik atau geran bagi 98 peserta Felcra Rompin B.

“Alhamdulillah, pada tahun ini giliran peserta FELCRA Bayai pula mendapat hakmilik tanah yang seperti mana yang telah dijanjikan.

“Jumlah peserta yang terlibat adalah seramai 213 orang daripada jumlah keseluruhan seramai 302 orang yang telah pun diluluskan pemberimilikannya oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang bersidang pada 29 November 2023.

“Saya dimaklumkan bahawa FELCRA Bayai merupakan tanah rancangan yang terakhir yang berjaya diselesaikan pengeluaran hakmiliknya hasil kerjasama di antara Pejabat Daerah dan Tanah Jempol dengan pihak FELCRA Berhad.

“Manakala baki penyerahan bagi 89 hakmilik yang mana peserta asalnya telahpun meninggal dunia, usah khuatir kerana ia akan tetap diselesaikan secara berperingkat setelah urusan berkaitan perintah pusaka kecil diselesaikan kelak,” kata Aminuddin.

Aminuddin menambah, Kerajaan Negeri sedar dan prihatin bahawa pemilikan tanah adalah satu perkara yang amat penting bagi peneroka Felcra semua.

“Manakan tidak, tanah yang diusahakan tanpa hakmilik, bermakna tiada jaminan ia dapat diturun milik kepada pasangan atau anak-anak suatu masa nanti.

“Oleh itu, saya ingin berpesan agar tanah yang telah diusahakan sejak sekian lama hasil penat lelah dari muda hingga kini tidak dijual dengan begitu mudah dan perlu dikekalkan menjadi hakmilik keluarga.

“Jangan terpengaruh dengan khabar-khabar indah dari ‘scammer’ yang datang memujuk untuk melabur atau membeli tanah tuan-puan dengan pelbagai alasan.

“Saya juga berharap agar tuan-tuan dan puan-puan faham bahawa proses pemberimilikan tanah ini melibatkan prosedur-prosedur yang perlu dipatuhi,” ujar Aminuddin.

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri seboleh-bolehnya cuba memastikan sebarang isu berkaitan dengan hakmilik tanah diselesaikan dengan kadar segera.

“Saya percaya pihak FELCRA Berhad selaku agensi pembangunan tanah juga memainkan peranan penting bersama-sama
dengan juru ukur yang dilantik untuk memastikan pemberian hakmilik ini selesai sepenuhnya.

“Jadi apabila hakmilik telah diperolehi, jagalah dengan sebaiknya supaya hasil tanah tersebut dapat turut dimanfaatkan dan dirasai nikmat oleh anak cucu tuan puan.

“Selain itu, setiap pemilik tanah juga adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hasil daripada tanah masing-masing.

“Pemilik haruslah menjaga tanah dengan sebaiknya serta tidak membiarkan tanah dinaiki semak samun tanpa sebarang usaha.

“Semoga hasil daripada tanah ini menjadi asbab keluarga peneroka hidup selesa dan berkualiti,” kata beliau lagi.

 

 

 

 

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button