SEREMBAN: Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar telah mempengerusikan mesyuarat bersama pemaju Taman Bukit Zamrud bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu rumah terbengkalai.
“Saya bersama ADUN Lobak (Chew Seh Yong) dan ADUN Temiang (Ng Chin Tsai) telah berjumpa dengan pemaju dan sebuah koperasi berkaitan masalah projek perumahan terbengkalai dan kemudahan asas yang belum siap di Taman Bukit Zamrud, Temiang.
“Beberapa isu telah dikenalpasti dan pemaju berjanji akan mencadangkan beberapa jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah 59 unit rumah yang terbengkalai dan beberapa lot rumah yang belum dibina,” kata Arul Kumar.
Arul Kumar berkata, beliau sentiasa peka dengan isu perumahan di Negeri Sembilan dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengatasi permasalahan tersebut.