Jalaluddin sumbang RM127,000 untuk sambutan Ramadan di Jelebu

JELEBU: Ahli Parlimen Jelebu, Dato’ Seri Jalaluddin Alias telah menyumbang sebanyak RM127,000 kepada masjid dan surau di Parlimen Jelebu sempena sambutan Ramadan.
Jalaluddin berkata, sumbangan ini diberikan bagi membantu pengurusan masjid dan surau mengadakan aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan.
“Sumbangan ini sebagai tanda keprihatinan terhadap kepentingan institusi masjid dan surau dalam mendidik serta membimbing masyarakat Islam.
“Dengan adanya dana ini, pelbagai program seperti majlis berbuka puasa, ceramah agama, dan sumbangan kepada golongan memerlukan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
“Penduduk setempat menyambut baik usaha ini dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan masjid dan surau terus menjadi pusat utama dalam mengimarahkan Ramadan serta memperkukuh ukhuwah dalam komuniti Islam di Jelebu,” kata Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang.
Majlis penyerahan sumbangan ini telah berlangsung di Kompleks UMNO Jelebu, Simpang Pertang.