BeritaMenarik

Jalan alternatif ke tiga perkampungan Orang Asli di Jeram Padang

SEREMBAN: Kerajaan Negeri sentiasa peka dan prihatin dengan keperluan orang ramai terutama penduduk-penduduk di kawasan kampung dan pendalaman untuk mendapatkan akses yang mudah dan selamat ke jalan raya utama.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (Sikamat-PH) berkata, laluan ke Kampung Orang Asli Panchor, Kampung Orang Asli Klebang dan Kampung Orang Asli Lubuk Lawang telah dibina dengan peruntukan kerajaan melalui jalan persendirian tetapi malangnya jalan tersebut rosak dan dilalui oleh kenderaan berat akibat keluaran hasil ladang.

Isu ini telah diberi maklum kepada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN).

“Sehubungan itu, satu lawatan tapak bersama wakil Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah diadakan pada 20 Jun 2024 bagi meneliti perkara ini.

“Semasa lawatan tersebut, lokasi yang dicadangkan bagi pembinaan lintasan tersebut adalah berdekatan KM27, Jajaran Pantai Timur, Mukim Jelai, Daerah Jempol.

“Hasil lawatan juga mendapati kawasan tersebut telah diduduki secara tidak sah memandangkan terdapat aktiviti tanaman dan juga sebuah struktur pondok telah didirikan.

“Dalam hal ini, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) selaku pemilik dan pengurus aset kereta api akan mengkaji cadangan reka bentuk lintasan yang sesuai serta ulasan-ulasan-ulasan teknikal daripada pihak-pihak berkuasa yang berkaitan seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum diangkat untuk kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Perkara ini juga telah dipanjangkan kepada Menteri Pengangkutan dan kita akan terus melihat perkembangan permohonan ini,” jelas Aminuddin.

Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang-BN)

Aminuddin berkata demikian bagi menjawab soalan daripada ADUN Jeram Padang, Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN) dalam sesi soal jawab Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri, Yang Ke-15.

Dalam pada itu, Mohd Zaidy berkata, penyelesaian masalah ini akan membawa kegembiraan kepada 1,500 orang penduduk Orang Asli di sini selepas menunggu selama 30 tahun.

“Ini juga merupakan satu manifesto saya ketika PRU-15 yang lalu, maka perlu diselesaikan segera sebelum menjelangnya PRU-16,” ujar beliau.

 

Show More

Related Articles

Back to top button