JOHOL: RM1.77 juta diperuntuk bagi naik taraf kemudahan asas masjid

SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di bawah Rancangan Malaysia ke-13, telah mengambil inisiatif untuk merancang pembangunan yang memberi fokus utama kepada penyelenggaraan dan menaiktaraf masjid-masjid sedia ada di Negeri Sembilan dengan melihat keperluan dari masa ke semasa berdasarkan keutamaan dan peruntukan yang diterima.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata JHEAINS telah mengangkat kertas cadangan untuk menaik taraf dua buah masjid yang berada di kawasan Johol seperti berikut:
i) Kerja-kerja menaik taraf tandas dan dewan terbuka Masjid Kariah Kampung Kepis Baru; dan
ii) Kerja-kerja menaik taraf bilik jenazah dan pagar Masjid Kariah Kampung Dingkir.
“Walaubagaimanapun, berdasarkan perbelanjaan tahun 2023 hingga 2025 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1,770,000 bagi penyelenggaraan dan naik taraf kemudahan-kemudahan asas seperti masjid, surau, tanah perkuburan Islam dan sekolah agama di kawasan Johol.
Kerja-kerja ini adalah tertakluk kepada keperluan penyelenggaran mengikut keutamaan projek dari masa ke semasa dan peruntukan yang diterima,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian semasa menjawab soalan lisan ADUN Johol, Dato’ Saiful Yazan Sulaiman (BN) di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15.
Saiful Yazan bertanya, apakah cadangan pihak JHEAINS mahupun MAINS dalam usaha menaiktaraf kemudahan–kemudahan asas masjid termasuk kerja-kerja penyelenggaraan terutama dalam kawasan Johol.



