BeritaMenarik

JPKKOA dapat RM315,000 daripada Kerajaan Negeri

SEREMBAN: Kerajaan Negeri memperuntukkan geran berjumlah RM315,000 kepada 43 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) di seluruh Negeri Sembilan.

EXCO (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pada tahun ini sebanyak 43 kampung Orang Asli telah terpilih untuk mendapat Geran JPKKOA dengan nilai geran sebanyak RM5,000 bagi setiap kampung.

“Selain itu terdapat juga peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 lagi bagi pelaksanaan program Pemimpin Bersama Masyarakat Orang Asli dan pengurusan penyeragaman imej institusi Batin dan JPKKOA di seluruh Negeri Sembilan.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan geran JPKKOA yang diperuntukan oleh Kerajaan Negeri pada tahun ini adalah sebanyak RM315,000,” jelas beliau.

Sementara itu, bagi isu pewartaan kampung Orang Asli, daripada 69 buah kampung, sebanyak 58 kampung telah diwartakan penempatan mereka.

Terdapat sembilan lagi kampung yang belum diwartakan dan sebuah kampung sudah diluluskan pada dasarnya dan kini melalui proses terakhir untuk pewartaan.

“Isu perumahan merupakan antara isu utama bagi masyarakat Orang Asli terutama bagi generasi muda untuk memiliki rumah kerana tidak layak menerima bantuan rumah dibawah Program Bantuan Rumah Orang Asli (PBROA).

“Seperti sedia maklum bagi rizab Kampung Orang Asli, Kerajaan Negeri tidak mengeluarkan geran individu dan cuma diberikan rizab keseluruhan kampung dan pegawai pengawal diberikan kepada Ketua Pengarah JAKOA Malaysia.

“Sedangkan syarat yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk memohon untuk membina sendiri melalui pinjaman atau lain-lain mesti mempunyai geran tanah atau tanah milik pemohon.

“Buat masa ini, kerajaan akan melihat kaedah yang terbaik untuk membantu masyarakat Orang Asli untuk memiliki rumah sendiri dengan bantuan pelbagai agensi perumahan yang ada sama ada di peringkat pusat ataupun negeri,” kata Jalaluddin.

Show More

Related Articles

Back to top button