Menarik

Jualan Harga Ladang Nismilan setiap Jumaat

SEREMBAN: Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin akan diadakan setiap hari Jumaat bagi membolehkan lebih ramai rakyat dapat manfaat daripada program jualan murah tersebut.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira faktor ramai penduduk setempat yang balik ke kampung atau bercuti pada hujung minggu.

“Sebelum ini kita mengadakan jualan murah ini pada setiap hari Sabtu secara pusingan (rotate) di semua tujuh aerah di Negeri Sembilan.

“Walaubagaimanapun, hasil maklum balas didapati penduduk setempat mahu jualan ini diadakan pada hari bekerja (Jumaat) agar lebih ramai dapat mengambil peluang untuk mendapatkan barangan jualan dengan harga lebih murah dari harga pasaran.

“Ini ialah kerana sebahagian penduduk berada di luar kawasan pada hari Sabtu dan Ahad kerana urusan keluarga atau bercuti,” kata Aminuddin.

Barangan keperluan dijual murah 20 hingga 30 peratus

Aminuddin berkata, Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin menawarkan barangan keperluan seperti ayam, ikan, sayur-sayuran dan minyak masak yang dijual dengan potongan harga di antara 20 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

“Program ini merupakan manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap isu kenaikan harga barang yang menghimpit rakyat di negeri ini.

“Tidak kira latar belakang, semuanya tertekan akibat kenaikan harga barangan masa kini.

“Semoga inisiatif ini dapat meringankan beban yang dihadapi rakyat dalam waktu yang sukar ini,” ujar beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button