Berita

Negeri Sembilan dan SD Guthrie bangunkan Port Dickson Free Zone seluas 600 ekar

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melalui MBINS akan membangunkan sebuah zon perindustrian baharu seluas kira-kira 600 ekar secara usahasama dengan SD Guthrie Berhad.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, zon ini bakal dikenali sebagai Port Dickson Free Zone (PDFZ) dan terletak berhadapan dengan tapak Smart AI Port yang akan dibina.

“Langkah proaktif ini bertujuan untuk merancakkan lagi sektor perindustrian di Negeri Sembilan serta memperkukuhkan ekosistem ekonomi dan pelaburan di rantau ini.

“Pembangunan zon perindustrian ini akan merangkumi pembinaan kemudahan seperti kawasan pergudangan, kilang-kilang berteknologi tinggi dan infrastruktur sokongan lain, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

“PDFZ berperanan sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan Midport.

“Integrasi antara Midport dan PDFZ kelak akan memaksimumkan sinergi dalam operasi logistik, pemprosesan ringan dan sektor pembuatan, sekali gus meletakkan Midport sebagai pelabuhan pilihan utama dengan sistem rantaian bekalan yang lancar untuk industri berkaitan,” ujar Aminuddin.

Aminuddin berkata, Tanco Holdings selaku rakan kongsi pelaburan juga menyatakan bahawa pembangunan taman perindustrian PDFZ ini akan melengkapkan projek pembinaan pelabuhan pintar AI di Port Dickson.

“Dalam erti kata lain, kejayaan operasi Midport bergantung rapat kepada kewujudan PDFZ yang bakal menarik pelaburan strategik dari syarikat-syarikat industri utama dunia yang memanfaatkan pengangkutan kontena dan perkhidmatan maritim.

“Projek ini mencerminkan hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan sektor swasta di mana MBINS berperanan sebagai pemudah cara pelaburan strategik, memastikan semua proses perancangan, kelulusan dan pelaksanaan berjalan lancar.

“Fasa pelaksanaan projek akan diatur secara berperingkat, di mana dalam jangka masa pendek, tumpuan diberi kepada pemindahan milik tanah, kerja-kerja prasarana asas dan promosi kepada pelabur.

“Manakala dalam jangka masa panjang, PDFZ dijangka berkembang menjadi hab industri yang matang dan berteknologi tinggi, selari dengan pertumbuhan operasi Midport,” jelas Aminuddin lagi.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pembinaan fizikal Midport akan dimulakan dalam masa terdekat dan dijangka mengambil tempoh beberapa tahun sebelum beroperasi sepenuhnya.

“Sasaran Kerajaan Negeri adalah untuk melihat pelabuhan ini mula beroperasi seawal tahun 2027, dan fasa pertama PDFZ turut siap menjelang waktu itu bagi menyokong operasi pelabuhan.

“Menjelang tahun 2035, Port Dickson bakal muncul sebagai sebuah “Bandar Pelabuhan Baharu” atau New Port City yang terkenal di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Port Dickson bukan lagi sekadar Bandar Tentera Darat tetapi akan dikenali kerana jaringan pengangkutan lautnya yang moden.

“Lokasi strategik PD yang hampir dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta rangkaian lebuh raya utama akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyokong pembangunan ini,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tanah serta Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) atau MBNS Inc. (MBINS) dengan syarikat SD Guthrie Berhad bagi cadangan pembangunan Port Dickson Free Zone (PDFZ) di Mukim Pasir Panjang, Daerah Port Dickson.

Show More

Related Articles

Back to top button