Berita

Politeknik Port Dickson unggul sebagai Centre of Architecture Technology

PORT DICKSON: Politeknik Port Dickson merupakan antara institusi TVET terunggul yang diiktiraf di Malaysia, khususnya dengan penubuhan Centre of Architecture Technology (CArT), yang berfungsi sebagai rujukan utama bagi program-program berkaitan seni bina di Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Penubuhan CArT bukan sahaja menyediakan platform pendidikan yang berkualiti dalam bidang seni bina, malah turut menyatukan para pensyarah yang terdiri daripada gabungan pemain industri dan pakar-pakar bidang.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, melalui kolaborasi ini, Politeknik Port Dickson telah berjaya menghasilkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi juga memiliki pengetahuan mendalam dalam teknologi terkini yang relevan dengan keperluan pasaran kerja.

“Dengan sokongan industri yang kukuh, CArT telah menjadi satu aset negara, yang memperkasa lagi sistem TVET di Malaysia.

“Sebagai sebuah institusi pendidikan yang diiktiraf dalam bidang TVET, Politeknik Port Dickson diharapkan akan terus menjadi tulang belakang kepada kekuatan TVET di Negeri Sembilan.

“Saya yakin bahawa dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, Politeknik Port Dickson dapat merangka perancangan strategik bersama Kerajaan Negeri dalam usaha melahirkan modal insan TVET yang berkualiti, berdaya saing dan menepati keperluan industri semasa,” kata Aminuddin.

Menurut Aminuddin lagi, Politeknik Port Dickson telah menerima Anugerah APACC Platinum pada tahun 2023, sebuah pengiktirafan antarabangsa yang hanya dicapai oleh tiga institusi di Malaysia.

“Ini bukti jelas bahawa institusi TVET negara setaraf dengan institusi pendidikan antarabangsa.

“Oleh itu, saya percaya dan berharap institusi TVET seperti Politeknik Port Dickson akan terus menjadi peneraju utama dalam memperkukuh penawaran program yang berorientasikan teknologi dan industri, termasuk bidang yang berkaitan dengan kecerdasan buatan (AI), data dan automasi

“TVET bukan lagi pilihan kedua. Ia harus menjadi pilihan utama, terutamanya dalam bidang yang berteraskan kemahiran teknologi masa depan.

“Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam program pendidikan teknikal dan latihan vokasional menjelang tahun 2025.

“Semua pihak, ibu bapa, guru dan pelajar harus mengubah persepsi bahawa keputusan akademik tidak semata-mata menjadi penentu masa depan.

“Banyak bidang baharu ditawarkan termasuklah teknologi kecerdasan buatan (AI), automasi, dron, tenaga boleh baharu, sistem pintar dan kejuruteraan robotik yang mempunyai kadar kebolehpasaran kerja yang tinggi,” ujar beliau.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Penutupan Program Eksplorasi TVET MADANI @Politeknik Port Dickson 2025.

Dalam pada itu, Aminuddin berharap program seumpama ini dapat diperluaskan pada masa hadapan dengan melibatkan lebih banyak institusi TVET serta sektor industri, agar lebih ramai pelajar mendapat manfaat dan pendedahan yang berharga untuk membangunkan kemahiran mereka.

 

Show More

Related Articles

Back to top button