Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid dilancarkan

PUTRAJAYA: Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid KPM, portal dan pelantikan Pasukan Prakarsa Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, pemerkasaan Sekolah Menengah Teknik serta inisiatif iPayment KPM dilaksanakan bertujuan untuk terus memacu pendidikan negara ke arah kecemerlangan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, aspek keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidikan terus diberi keutamaan.
“Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid KPM perlu menjadi rujukan utama bagi memastikan institusi KPM terus berfungsi sebagai ruang pembelajaran yang selamat, kondusif dan sejahtera. Ia dibangunkan dengan kerjasama pakar termasuk Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
“Portal RPM 2026-2035 pula adalah inisiatif penting dalam usaha Kementerian meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat terkait agenda reformasi pendidikan negara kepada masyarakat,” kata beliau.
Menurut Fadhlina, kejayaan RPM 2026-2035 bergantung kepada sejauh mana seluruh warga pendidikan dan masyarakat memahami, menerima serta bergerak ke arah hala tuju dan matlamat yang telah ditetapkan.
“Pada hari ini juga, secara rasminya semua sembilan buah Sekolah Menengah Teknik diserahkan kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP).
“Ia adalah langkah berani yang diambil bagi memartabatkan pendidikan TVET selari dengan hala tuju negara.
“Beberapa pencapaian signifikan dan membanggakan telah berjaya dicatat sepanjang Mei dan awal bulan ini,” jelas Fadhlina.




