BeritaYB Kita

Remaja 13 tahun ditemui tinggal bersendirian di bengkel, JKM teliti tindakan susulan

PORT DICKSON: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemui tinggal bersendirian dan dipercayai terbiar di sebuah bengkel di daerah ini selepas pihak berkuasa menerima aduan awam mengenai keadaannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dato’ Dr G. Rajasekaran berkata, beliau bersama Ahli Majlis Perbandaran Port Dickson, Wong Asha Kaur dan Setiausaha JPKK Kampung Hailam, Neo Vee Sheng segera turun padang ke lokasi selepas menerima maklumat berhubung kes berkenaan.

Turut hadir membantu di lapangan ialah pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Port Dickson bagi menjalankan penilaian awal dan memastikan kebajikan remaja terbabit terpelihara.

Menurut Rajasekaran, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh di lokasi, remaja tersebut difahamkan enggan tinggal bersama ahli keluarganya atas sebab-sebab peribadi.

“Ibu remaja berkenaan kini menetap di Melaka dan telah berusaha memujuknya untuk pulang, manakala bapanya tidak dapat menjalankan tanggungjawab kerana sedang menjalani hukuman penjara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, nenek remaja itu yang menetap di Pantai Mas turut dihubungi dan telah hadir ke lokasi bagi membantu proses rundingan bersama pihak berkuasa.

“Keutamaan kami pada ketika ini adalah memastikan kelangsungan hidup, keselamatan fizikal dan kesejahteraan mental remaja tersebut.

“Pihak JKM sedang menjalankan siasatan terperinci serta menilai pelbagai aspek bersama neneknya untuk merangka penyelesaian terbaik,” kata Rajasekaran.

Menurut beliau, antara langkah yang sedang dipertimbangkan termasuk penentuan hak penjagaan oleh waris yang layak atau intervensi perlindungan alternatif di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 sekiranya diperlukan.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap tindakan pantas dan profesionalisme JKM dalam mengendalikan kes berkenaan.

“Pejabat ADUN Sri Tanjung sentiasa komited memastikan tiada golongan rentan, khususnya kanak-kanak dalam komuniti kita, yang terpinggir atau terbiar tanpa pembelaan,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai digesa supaya terus peka terhadap isu kebajikan di kawasan masing-masing dan segera melaporkan sebarang kes pengabaian kepada pihak berkuasa atau Talian Kasih 15999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Show More

Related Articles

Back to top button