Berita

Kami bukan lagi pasukan belasahan: AMINUDDIN

NILAI: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menyatakan bahawa Negeri Sembilan Football Club (NSFC) bukan lagi pasukan belasahan dalam saingan liga yang akan bermula bulan ini.

Aminuddin yang juga merupakan Pengerusi NSFC itu turut menyatakan bahawa, NSFC musim ini tampil dengan semangat baharu dan barisan pemain lebih berkualiti dalam menghadapi saingan Liga Super musim ini.

“Pasukan bimbingan Ketua Jurulatih Nidzam Jamil kini lebih mantap dan diyakini mampu memberi cabaran kepada mana-mana pasukan.

“Saya yakin dengan barisan pemain dan pengurusan yang cekap, NSFC akan tampil lebih konsisten musim ini.

Walaupun belum ada sasaran rasmi, saya boleh katakan pasukan ini bukan lagi pasukan belasahan,” katanya.

Menurut Aminuddin, pengurusan NSFC menunjukkan prestasi baik dari segi pengendalian kewangan dan kebajikan pemain, malah pasukan berada dalam kedudukan kewangan stabil sebagaimana musim lalu.

“Saya puas hati dengan prestasi pengurusan dan kita akan terus berikan sokongan agar pemain tidak terbeban.

Jika mereka tunjukkan komitmen dan prestasi profesional, kita pertimbang ganjaran setimpal,” ujarnya lagi.

Dalam majlis sama, NSFC turut memperkenalkan jersi musim baharu yang mengekalkan warna tradisi merah, kuning dan hitam dengan sentuhan tipografi “Ini Paroi Jangan Main” pada kolar, sebagai simbolik kepada Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. Corak “Bunga Lada”, bunga rasmi negeri, juga ditampilkan sebagai elemen warisan budaya Negeri Sembilan.

Jersi kedua pula membawa mesej penghargaan kepada penyokong setia dengan tipografi “Sekalian Yang Setia” serta gabungan warna kuning, hitam dan merah.

Turut hadir, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Tunku Syed Razman Ibni Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Show More

Related Articles

Back to top button