Berita

KBS belanja RM8.93 juta bangunkan Hakim Danish sejak 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan sokongannya terhadap pembangunan sukan permotoran negara dilaksanakan menerusi ekosistem pembangunan bakat secara berperingkat, bukannya secara ad hoc, termasuk melibatkan pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli.

Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari, berkata sehingga kini KBS telah membelanjakan RM8.93 juta bagi laluan pembangunan ‘Impian ke MotoGP’ sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun, mengenai pembangunan sukan permotoran di Dewan Rakyat.

“Sokongan KBS bukan bersifat ad hoc, sebaliknya melalui ekosistem pembangunan bakat secara berperingkat.

“Ini termasuklah untuk Hakim Danish, di mana KBS telah membelanjakan sebanyak RM8.93 juta sejak 2021 sehingga 2025 di bawah laluan ‘Impian ke MotoGP,” katanya.

Menurut Mohammed Taufiq, bagi penyertaan Hakim Danish dalam Kejuaraan Dunia Moto3 musim 2026, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) turut menyediakan dana awal berjumlah RM453,808 bagi memastikan tempat dan penyertaan pelumba itu dapat diteruskan.

Selain itu, katanya, sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan tahun ini bagi menyokong pembangunan sukan permotoran dua roda menerusi Geran Padanan Sukan (GPS) dan Program Pembangunan Bakat SIC.

“Selain atlet elit, KBS turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat di peringkat akar umbi kerana kita ingin melahirkan lebih ramai atlet yang mampu menempa nama di pentas antarabangsa,” ujar Mohammed Taufiq.

Mohammed Taufiq turut menyeru sektor swasta supaya bersama-sama memainkan peranan dalam menyokong pembangunan atlet negara.

“Usaha ini memerlukan penglibatan semua pihak, termasuk sektor swasta, bagi memastikan lebih ramai atlet dapat dibangunkan dalam pelbagai jenis sukan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button