Kebersihan kampung lambang imej komuniti setempat

JERAM PADANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir telah merasmikan Program Komuniti Berdaya, Masyarakat Sejahtera di Kampung Orang Asli Sungai Persum, bersempena Program Kampungku Bersih Tahun 2025.
Mohd Zaidy berkata, program sebegini adalah platform penting dalam menjayakan agenda pembangunan luar bandar yang lebih inklusif, menyantuni komuniti Orang Asli, serta memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam arus kemajuan.
“Pemberdayaan Komuniti adalah Tunjang Kemajuan
“Komuniti berdaya bermakna komuniti yang mampu berdikari, cakna akan kebersihan, menjaga kesihatan, menyemai semangat gotong-royong dan saling membantu dalam membina kehidupan yang lebih sejahtera.
“Inilah semangat yang ingin kita suburkan hari ini.
“Saya amat menghargai usaha JAKOA, agensi-agensi kerajaan dan kepimpinan kampung dalam merangka dan melaksanakan program sebegini,” ujar beliau.
Menurut Mohd Zaidy, Kampung Orang Asli Sungai Persum menjadi contoh bahawa komuniti luar bandar juga mampu membina imej bersih, harmoni dan progresif jika diberikan peluang, bimbingan dan sokongan berterusan.
“Faktor kebersihan adalah tanggungjawab Bersama.
“Kebersihan kampung adalah lambang maruah dan imej sesebuah komuniti.
“Bila kampung kita bersih, bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk, malah turut membuka potensi untuk pelbagai bentuk pembangunan; termasuk pelancongan komuniti, pertanian moden dan infrastruktur asas yang lebih baik,” jelas Mohd Zaidy.
Dalam pada itu, Mohd Zaidy turut menyatakan komitmen beliau sebagai seorang wakil rakyat
“Saya sebagai wakil rakyat kawasan ini akan terus komited untuk memperjuangkan hak dan kebajikan masyarakat Orang Asli, terutamanya dalam aspek kemudahan asas seperti jalan, bekalan air bersih, pendidikan, perumahan dan peluang ekonomi.
“Kita akan pastikan setiap permintaan dan keperluan kampung ini tidak dipinggirkan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat; khususnya pihak JAKOA, pemimpin masyarakat, para sukarelawan, serta seluruh penduduk Kampung Orang Asli Sungai Persum,” kata Mohd Zaidy lagi.