Kementerian Pendidikan komited laksana agenda Reformasi Pendidikan

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menzahirkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk terus melaksanakan agenda Reformasi Pendidikan yang menjadi asas dan panduan utama dalam melaksanakan transformasi sistem pendidikan negara secara menyeluruh dan dinamik.
Fadhlina berkata, penetapan pendidikan menengah menjadi pendidikan wajib adalah iltizam Kerajaan MADANI berteraskan nilai ‘ihsan’.
“Setiap murid warganegara Malaysia perlu mendapat hak pendidikan yang terbaik walau di mana sahaja keberadaan mereka. Ini demi menjamin masa hadapan mereka yang lebih baik.
“Dalam aspek perpaduan pula, KPM menerapkan elemen perpaduan melalui kurikulum dan pelaksanaan Pendidikan Sivik dan penyampaian pembelajaran bersepadu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah.
“Penerapan elemen perpaduan dalam kurikulum membolehkan murid memahami dan menghayati pelbagai ilmu serta maklumat seperti hak asasi, hubungan dengan orang lain, warisan budaya masyarakat Malaysia, kedaulatan negara dan kelestarian alam sekitar,” kata Fadhlina.
Fadhlina berkata demikian semasa menggulung usul Menjunjung Kasih Perbahasan Titah Diraja 2025 di Dewan Negara.
Beliau turut menyentuh beberapa perkara lain termasuk teknologi buatan (AI) dan pendidikan digital, pengukuhan Bahasa Inggeris, akses pendidikan dan usaha menangani keciciran murid.