Berita

Keperluan membina Hospital Tuanku Ja’afar 2 dapat perhatian Anwar

TAMPIN: Isu kesesakan pesakit di Hospital Tuanku Ja’afar dan keperluan membina sebuah lagi hospital baharu mendapat perhatian Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, isu mengenai keperluan membina Hospital Tuanku Ja’afar 2 di Seremban akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu hadapan.

“Salah satu perkara yang menarik perhatian saya ialah keperluan segera dan mendesak untuk membina Hospital Tuanku Ja’afar 2 di Seremban bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

“Justeru itu, saya telah meminta Ketua Setiausaha Negara untuk membawa cadangan ini ke Mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan agar ia dapat ditelaah dan dipercepatkan.

“Saya juga telah meminta Kementerian Ekonomi untuk memberikan perhatian khusus kepada 10 cadangan projek keutamaan di Negeri Sembilan khususnya berkaitan projek tebatan banjir,” kata Anwar.

Anwar berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sembilan di Majlis Daerah Tampin bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta barisan kepemimpinan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Menurut Anwar, mesyuarat tersebut adalah antara lain berfungsi sebagai wahana untuk menilai pelbagai projek pembangunan negeri serta perencanaan jangka panjang yang menggarap aspek infrastruktur asas seperti pendidikan, kesihatan, jalan raya, tebatan banjir dan pengurusannya, alam sekitar dan sumber air.

Dalam pada itu, Anwar berkata, penekanan perlu diberikan kepada setiap projek yang direncana perlu dilaksanakan dengan sinergi yang kukuh antara kementerian dan agensi berkaitan.

“Kerenah birokrasi yang boleh melambatkan pelaksanaan projek mesti diminimakan agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat secepat mungkin.

“Saya yakin dengan perancangan yang teliti dan pelaksanaan yang berkesan, projek-projek ini akan memberi limpahan manfaat kepada warga Negeri Sembilan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” ujar beliau.

Sementara itu, selepas mempengerusikan mesyuarat itu, Anwar turut menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Padang Serbaguna Tampin yang turut dihadiri lebih 1,000 masyarakat tempatan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button