Berita

Kerajaan Kekal Bantuan Diesel RM300 Tangani Krisis Bekalan Globa

SEREMBAN: Kerajaan akan meneruskan pelbagai intervensi bersasar bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup susulan peningkatan harga bahan api global, termasuk mengekalkan bantuan BUDI MADANI Diesel sebanyak RM300 sebulan serta bantuan tambahan interim RM100 kepada penerima yang layak.

Menurut Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, langkah itu merupakan sebahagian usaha kerajaan membantu rakyat dan sektor berkaitan berdepan kesan krisis bekalan global.

Menurutnya, bagi golongan pesawah, Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM300 sehektar mula disalurkan bermula hari ini.

“Langkah ini penting kerana kos bahan api dan kos operasi pertanian boleh memberi kesan secara langsung kepada rantaian bekalan makanan,” katanya ketika sesi Taklimat Krisis Bekalan Global yang disiarkan secara langsung pada hari ini.

Dalam pada itu, Akmal memaklumkan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini turut meneliti cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Cadangan tersebut melibatkan penyelarasan kuota subsidi diesel secara lebih seimbang bagi memperkukuh kawalan terhadap ketirisan tanpa menjejaskan operasi perniagaan dan rantaian bekalan

“MTEN bersetuju supaya perkara ini disusuli selanjutnya oleh KPDN,” katanya.

Menurut Akmal, berdasarkan data MySubsidi setakat 9 April 2026, lebih 398,000 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS, melibatkan lebih 375,500 kenderaan pengangkutan darat barangan dan kira-kira 23,000 kenderaan pengangkutan awam.

“MTEN turut mendengar pembentangan daripada Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berhubung impak krisis tenaga dan gangguan bekalan global terhadap industri pembuatan negara.

“Sektor pembuatan kekal sebagai antara pemacu utama ekonomi negara terutama dari segi sumbangan kepada eksport, peluang pekerjaan, pelaburan dan rantaian bekalan domestik,” katanya.

Tambah Akmal, tinjauan FMM membabitkan 225 syarikat daripada kira-kira 4,200 ahli merangkumi 29 subsektor pembuatan mendapati tekanan yang dihadapi industri ketika ini bersifat menyeluruh.

“Antara isu utama dibangkitkan termasuk gangguan bekalan bahan mentah, peningkatan kos logistik, tekanan aliran tunai, daya saing eksport, perancangan pelaburan serta keperluan mengekalkan guna tenaga.

“Lima subsektor dikenal pasti paling terkesan ialah automotif dan komponen, makanan dan minuman, plastik dan pembungkusan, kimia dan petrokimia serta elektrikal dan elektronik” tambahnya.

Menurut Akmal, tekanan tersebut memberi kesan berangkai kepada kos pengeluaran, kelancaran operasi, penghantaran eksport serta keupayaan syarikat mengekalkan momentum pertumbuhan.

Dalam perkembangan sama, kerajaan turut menyediakan sokongan pembiayaan bersasar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) oleh Bank Negara Malaysia berjumlah RM5 bilion.

Katanya, langkah itu bertujuan membantu PKS mengekalkan aliran tunai dan memastikan kesinambungan operasi perniagaan.

Show More

Related Articles

Back to top button