95 Peratus Kes Paru-Paru Lewat Dikesan, KKM Perluas Saringan di 902 Klinik

SEREMBAN: Sistem penjagaan kesihatan paru-paru negara perlu melalui reformasi menyeluruh bagi memastikan perkhidmatan lebih bersepadu dan berkesan dalam menangani peningkatan penyakit berkaitan pernafasan yang semakin kompleks.
Melalui hantaran media sosial, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, pendekatan sedia ada yang beroperasi secara berasingan atau ‘silo’ tidak lagi sesuai memandangkan penyakit seperti tuberkulosis (TB), komplikasi akibat vape dan kanser paru-paru saling berkait serta memerlukan rawatan menyeluruh.
“Kira-kira 95 peratus kes kanser paru-paru di Malaysia masih dikesan pada tahap lewat iaitu tahap tiga dan empat.
“Ini membuktikan sistem sedia ada perlu diubah segera kerana pendekatan berasingan tidak lagi berkesan dalam menangani beban penyakit paru-paru yang semakin meningkat.
“Kerajaan kini sedang memusatkan perkhidmatan saringan, pencegahan dan rawatan paru-paru di bawah satu sistem penjagaan primer bersepadu yang akan diperluaskan ke 902 klinik kesihatan di seluruh negara menjelang 2026” katanya.
Menurut Dzulkefly, melalui pendekatan ini, rakyat tidak lagi perlu berulang-alik ke hospital besar semata-mata untuk mendapatkan saringan atau rawatan. Sebaliknya, saringan kanser, rawatan asma, imunisasi pernafasan serta perkhidmatan berhenti merokok akan disediakan di satu pusat khidmat yang lebih dekat dengan komuniti.
“Inisiatif LungShield bersama rakan strategik awam-swasta turut memperkenalkan penggunaan teknologi X-ray pintar (AI) mudah alih yang akan dibawa terus ke kawasan pedalaman bagi memperluas akses saringan awal.
“Pada masa sama, skim insurans mikro turut diperkenalkan bagi melindungi petugas barisan hadapan berisiko tinggi termasuk anggota Polis Diraja Malaysia” katanya.
Dzulkefly menegaskan setiap dasar yang diperjuangkan di peringkat global perlu diterjemahkan kepada sistem kesihatan yang lebih adil, pantas dan benar-benar menjaga nyawa rakyat.
Dalam pada itu, Dzulkefly mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-79 (WHA79) di Geneva, yang menjadi platform penting menghimpunkan Menteri Kesihatan dan penggubal dasar dari seluruh dunia bagi menterjemah dasar kesihatan global kepada tindakan nyata.
Tahun ini, penyertaan Malaysia membawa mesej jelas bertemakan “Dari Resolusi kepada Tindakan”, dengan fokus memperkukuh reformasi kesihatan berteraskan kesejahteraan rakyat serta menggesa akses bantuan kemanusiaan global diberikan tanpa gangguan.
Malaysia turut menyertai 18 intervensi strategik merangkumi isu seperti eliminasi malaria, kesihatan mental, penyakit tidak berjangkit (NCD) dan ekonomi kesihatan.
Selain itu, beberapa pertemuan dua hala turut diadakan bersama negara sahabat termasuk Sepanyol, Singapura, Vietnam dan Bangladesh bagi memperkukuh kerjasama kesihatan serantau dan antarabangsa.



