Gelaran ‘Tan Sri’ Mohd Isa Samad Ditarik Balik Berkuat Kuasa 8 Jun

SEREMBAN: Gelaran Tan Sri yang disandang bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato Mohd Isa Abdul Samad, ditarik balik berkuat kuasa 8 Jun lalu selepas beliau disabitkan kesalahan dan sedang menjalani hukuman penjara.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan penarikan balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Mohd Isa.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat susulan sabitan kesalahan terhadap Mohd Isa yang kini sedang menjalani hukuman pemenjaraan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
“Penarikan balik ini adalah bersangkutan dengan beliau telah disabitkan kesalahan dan sedang menjalani hukuman pemenjaraan di Penjara Sungai Buloh, Selangor,” menurut kenyataan itu.
JPM menjelaskan bahawa tindakan tersebut selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia, khususnya Perenggan XXV dan XXVIA yang memperuntukkan bahawa sesuatu darjah kebesaran boleh ditarik balik sekiranya penerimanya disabitkan dengan kesalahan tertentu.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa titah perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung penarikan balik darjah kebesaran berkenaan dibuat sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara pada 7 September 2024.
Dengan keputusan tersebut, Mohd Isa tidak lagi berhak menggunakan gelaran Tan Sri mulai tarikh kuat kuasa yang ditetapkan.



