NILAI: Bahagian Perumahan Negeri Sembilan telah diminta memantau kemajuan projek perumahan Desa Kasia setiap bulan bagi memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan sepenuhnya sebelum hujung tahun.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, YB J.Arul Kumar berkata, jika projek ini tidak diselesaikan seperti mana yang dipersetujui, maka kerajaan negeri akan melihat balik kelulusan untuk fasa-fasa seterusnya di bawah pembangunan tersebut.
“Projek ini telah bermula pada tahun 2018 dan beberapa kali kontraktor telah ditukar dan masih belum diselesaikan.
“Sehingga sekarang projek secara fizikal mencapai 70 peratus sahaja dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memasukkan projek ini sebagai projek sakit.
“Projek ini mempunyai sejumlah 382 unit,” ujar beliau yang juga ADUN Nilai.
Menurut Arul Kumar, apabila projek ini tidak dapat disempurnakan seperti mana dijanjikan, ia menyebabkan pembeli menanggung beban kerana terpaksa membayar ansuran bulanan secara penuh dan pada masa sama ada yang membayar sewa rumah yang diduduki sekarang sehingga dapat memasuki rumah baru tersebut.
Perkembangan terakhir pada awal tahun lepas pihak pemaju menyatakan akan projek tersebut dapar disiapkan pada bulan April 2024 selepas lantikan kontraktor penyelamat.
“Tetapi ia juga tidak dapat dilaksanakan dan pihak pemaju berjanji akan selesaikan sebelum hujung tahun ini.
“Oleh kerana, sepanjang satu tahun lepas mempunyai perkembangan dalam projek fizikal, KPKT juga telah bersetuju untuk mengeluarkan projek tersebut daripada ‘projek sakit’ untuk membolehkan baki unit yang tidak dapat dijual dapat dijual.
“Tetapi ia adalah berdasarkan kepada status kemajuan projek yang akan dilaksanakan setiap bulan oleh KPKT.
“Jika kemajuan projek tidak mengikut seperti mana yang dipersetujui sekali lagi projek itu boleh diklasifikasikan sebagai projek sakit dan seterusnya boleh dipertimbangkan sebagai projek terbengkalai,” jelas Arul Kumar.
Arul Kumar berkata demikian kepada Negeri Kita selepas mempengerusikan Mesyuarat Membincangkan Status dan Kemajuan Projek Perumahan Dwi Kasia, Bandar Baru Nilai yang turut dihadiri oleh Setiausaha Bahagian Perumahan Negeri Sembilan, Pegawai dari KPKT, wakil pemaju dan pembeli.