YB Kita

Kerajaan Negeri Sembilan perkukuh Dasar Pendidikan, pastikan tiada murid tercicir

SEREMBAN: Dimaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), dengan visi Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera dan misi Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara.

Exco Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Lasim (BN-SENALING), JPNS bertanggungjawab menyelaraskan dasar negeri dengan hala tuju nasional di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) yang menekankan aspek seperti akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Dasar pendidikan turut ditumpukan kepada memastikan anak-anak Negeri Sembilan benar-benar mendapat tempat belajar serta mengiktiraf pencapaian mereka, termasuk anugerah untuk siswazah cemerlang.

Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang menyokong setiap peringkat dari sekolah rendah, menengah, IPT serta menyediakan laluan ke alam pekerjaan melalui beberapa aspek iaitu Akses dan Ekuiti kepada Pendidikan Asas.

JPNS bertanggungjawab memastikan semua kanak-kanak mengikut umur yang ditetapkan mendapat tempat belajar pada hari pertama sesi persekolahan baharu dimulakan.

Ini penting supaya tiada anak Negeri Sembilan tertinggal pada peringkat asas.

Di samping itu juga, Kerajaan Negeri menyediakan Insentif dan Pengiktirafan Pelajar Cemerlang melalui Yayasan Negeri Sembilan (YNS).

Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama diberi kepada graduan dari Negeri Sembilan yang memperoleh ijazah dengan kelas pertama di mana setiap penerima menerima insentif sebanyak RM5,000 seorang.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga memberi Bantuan Kewangan untuk Pelajar IPT dan Kemasukan ke IPT di mana YNS menyediakan Pinjaman Pendidikan bagi pelajar IPT yang memerlukan dengan syarat tertentu.

YNS juga menyediakan Bantuan Sara Hidup Mahasiswa Anak Negeri Sembilan bagi memudahkan proses pembelajaran pelajar dari Negeri Sembilan.

Kerajaan Negeri turut memberi bantuan kemasukan ke IPT sebagai insentif tambahan supaya anak negeri terus melanjutkan pengajian.

Dasar pendidikan dan bantuan kewangan ini bertujuan membina asas yang kuat bagi pelajar supaya terus berusaha mengekalkan kecemerlangan akademik dan bersedia memasuki alam pekerjaan melalui pendidikan berkualiti dan insentif lanjutan.

Untuk makluman, pada tahun 2025, jumlah murid Prasekolah Kerajaan berjumlah 7,801 orang, Prasekolah Swasta berjumlah 12,303, jumlah murid sekolah rendah dari tahun 1 hingga 6 pula adalah 108,230 orang manakala bagi sekolah menengah pula berjumlah 192,285 orang murid.

Ismail berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Rantau, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (BN) di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15.

Mohamad dalam pertanyaan beliau, meminta dinyatakan dasar dan perancangan Kerajaan Negeri dalam memastikan anak Negeri Sembilan mendapat pendidikan asas dan seterusnya dapat melanjutkan pengajian ke peringkat siswazah dan bersedia untuk menempatkan diri dalam sektor pekerjaan dan sekaligus berbakti kepada bumi bertuah Negeri Beradat ini.

Show More

Related Articles

Back to top button