Berita

Kerajaan Negeri Tidak Campur Tangan Pelantikan Undang Luak Sungei Ujong

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tidak terlibat dalam pelantikan Undang Luak Sungei Ujong yang baharu kerana perkara itu berada di bawah bidang kuasa luak.

Menurut Aminuddin, setiap urusan berkaitan pelantikan pemimpin adat di negeri ini dilaksanakan mengikut amalan serta struktur adat yang telah lama diamalkan tanpa penglibatan kerajaan negeri secara langsung.

“Bagaimanapun, di peringkat kerajaan negeri, kita tidak ada apa-apa setakat ini. Perkara ini di peringkat luak dan kita tidak campur tangan kerana ia melibatkan urusan adat yang terpulang kepada pihak berkaitan,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Exco yang berlangsung di Wisma Negeri, di sini.

Terdahulu, akauntan berusia 29 tahun, Muhammad Faris Johari dilantik sebagai Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-11 menerusi istiadat kerapatan di Telaga Undang secara bulat muafakat oleh Waris Klana Hulu selaras dengan peruntukan adat dan salasilah.

Pelantikan itu dibuat mengikut adat perpatih berlandaskan salasilah keturunan serta persetujuan waris-waris yang terlibat, selain disaksikan pelbagai pihak termasuk Ibu Soko, Dato’ Lembaga dan pegawai kerajaan dalam lingkungan adat.

Waris Nan Tua Klana Hulu dalam kenyataan berkata, istiadat tersebut dijalankan mengikut undang-undang teradat yang menekankan prinsip berkeadilan, berundang dan bersalasilah dalam adat Luak Sungei Ujong.

Show More

Related Articles

Back to top button