Kerajaan Negeri Sembilan Teliti Potongan Sewa Gerai PBT

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun memaklumkan bahawa kerajaan negeri sedang meneliti cadangan penurunan kadar sewa gerai milik pihak berkuasa tempatan (PBT) susulan tekanan kos sara hidup yang dihadapi peniaga.
Menurut Aminuddin, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang berlangsung hari ini, di mana pihaknya telah meminta semua PBT mengemukakan cadangan masing-masing sebelum keputusan muktamad dibuat.
“Tadi kita telah selesai mengadakan Mesyuarat Exco. Kita telah memanjangkan beberapa perkara antaranya tentang penurunan ataupun potongan sewa gerai PBT secara sementara bagi menghadapi krisis semasa.
“Kita minta supaya PBT memberikan cadangan mereka dan insya-Allah kita akan maklumkan dalam mesyuarat akan datang berapa kadar potongan yang akan dikenakan kepada penyewa gerai PBT ini.
“Kita perlu mendapatkan maklumat terlebih dahulu daripada PBT kerana terdapat pelbagai jenis gerai. Jadi, kita mahu lihat keseluruhan data sebelum membuat keputusan,” katanya ketika sidang media pasca Exco di Wisma Negeri, di sini.
Tambah Aminuddin, kerajaan negeri juga akan mengambil kira pendekatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Tidak semestinya kita akan mengambil pendekatan yang sama sepenuhnya, tetapi kita akan melihat apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan. Ia mungkin berbeza mengikut PBT, sebab itu kita perlukan maklumat lanjut daripada mereka,” jelasnya.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menunjukkan inisiatif membantu apabila terkesan dengan keluhan seorang peniaga warung makan di Rawang yang berdepan kenaikan kos barangan, seterusnya membawa perkara tersebut ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersama isu-isu berkaitan.
Beliau berkata, usaha menangani kenaikan kos bukan sesuatu yang mudah kerana kerajaan turut menanggung beban kewangan tinggi termasuk subsidi bahan api yang mencecah tambahan RM5 bilion sebulan.
Namun begitu, beliau menegaskan kerajaan akan terus berusaha membantu golongan kecil, miskin dan rentan termasuk dengan mengurangkan kadar sewa premis perniagaan milik agensi kerajaan seperti MARA dan UDA.



