Nancy minta mangsa gangguan seksual berani tampil buat aduan

KUALA LUMPUR: Kebanyakan mangsa gangguan seksual takut untuk membuat laporan,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri.
Nancy berkata, ada yang merasakan kes mereka tidak serius dan tidak mampu untuk melalui proses undang-undang yang panjang dan mahal.
“Itulah tugas Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS) yang menjadi satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil bagi mendengar dan memutuskan aduan gangguan seksual yang berlaku di Malaysia.
“TAGS akan mengeluarkan Award yang mengandungi permintaan maaf rasmi, penyiaran permohonan maaf, pampasan sehingga RM250,000, dan kewajipan menghadiri program yang bersesuaian.
“Bagi memudahkan akses perkhidmatan kepada masyarakat, TAGS telah berpindah ke Menara Aras Raya, Kuala Lumpur agar lebih mudah diakses orang ramai melalui laluan pengangkutan awam yang berhampiran LRT Bandaraya.
“Saya berharap dengan adanya Pejabat Tribunal bagi Antigangguan Seksual dan Sistem Pengurusan Aduan eTags ini akan mendorong lebih ramai untuk berani tampil membuat aduan,” jelas Nancy.




