Berita

THE LINQUE perkukuh ekosistem pengangkutan awam, pacu pembangunan bandar lestari

KUALA LUMPUR: Pembangunan berorientasikan transit (TOD), THE LINQUE yang dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara MRT Corp dan IJM Land dilancarkan hari ini sebagai langkah memperkukuh ekosistem pengangkutan awam serta merancakkan pembangunan komuniti bandar yang lebih lestari.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, THE LINQUE yang dihubungkan secara terus dengan Stesen MRT Cochrane merupakan pembangunan TOD pertama MRT Corp di Lembah Klang di bawah strategi Rail Plus Property.

Menurut beliau, projek itu bukan sahaja berperanan menghubungkan destinasi melalui rangkaian pengangkutan awam yang cekap, malah berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Sebagai pembangunan TOD pertama MRT Corp di Lembah Klang di bawah strategi Rail Plus Property, THE LINQUE menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh ekosistem pengangkutan awam yang bukan sahaja menghubungkan destinasi, malah merancakkan aktiviti ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan komuniti yang lebih lestari,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek berkenaan di sini.

Dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM600 juta, pembangunan tersebut merangkumi 586 unit apartmen servis, kemudahan runcit serta akses berbumbung yang menghubungkan terus penduduk kepada rangkaian MRT.

Anthony berkata, antara keunikan utama THE LINQUE ialah sambungan terus dari aras bawah tanah ke ruang legar stesen MRT, sekali gus menawarkan pengalaman mobiliti yang lebih selesa dan lancar kepada pengguna.

Beliau berkata, pembangunan itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat menerusi perancangan bandar yang inklusif, mampan dan berdaya huni.

“Pembangunan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui perancangan bandar yang inklusif, mampan dan berdaya huni.

“Inisiatif seperti ini membantu mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, memperluas akses kepada pengangkutan awam serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat bandar,” katanya.

Tambah beliau, THE LINQUE membuktikan bahawa pembangunan infrastruktur pengangkutan mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan komuniti serta pembentukan bandar yang lebih hijau demi manfaat generasi akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button