Berita

KKM percepat transformasi digital kesihatan, rekod kesihatan tunggal untuk setiap individu

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh agenda transformasi digital sektor kesihatan menerusi pelaksanaan inisiatif ‘Satu Individu, Satu Rekod Kesihatan’ yang dilihat sebagai langkah penting bagi mereformasi sistem kesihatan negara secara menyeluruh.

Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pendigitalan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi tunjang utama kepada kelangsungan reformasi struktur sistem kesihatan negara.

“Pendigitalan bukan lagi pilihan mewah, tetapi tulang belakang kepada kelangsungan reformasi struktur sistem kesihatan negara. KKM tekad meluncurkan agenda ‘Satu Individu, Satu Rekod Kesihatan’ demi menoktahkan legasi kertas dan rekod manual yang lama membebankan rakyat dan petugas kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, langkah tersebut penting untuk mengubah pendekatan sistem kesihatan daripada model berasaskan rawatan penyakit atau “Sick-Care” kepada model penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh dan proaktif.

Katanya, penggunaan ekosistem digital juga dapat mengurangkan beban tugas perkeranian dalam kalangan petugas kesihatan, sekali gus membolehkan doktor dan jururawat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pesakit.

“Melalui ekosistem digital, beban perkeranian dapat diranapkan agar doktor dan jururawat kita mampu memberikan tumpuan penuh untuk menyantuni pesakit di hadapan mata dengan lebih manusiawi,” katanya.

Beliau berkata, kesan positif transformasi tersebut mula dirasai apabila tempoh menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan berjaya dipendekkan dengan ketara.

Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly memaklumkan beliau bersama Menteri Komunikasi, Dato’ Fahmi Fadzil, menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA).

Menurutnya, kerjasama strategik antara KKM, Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu akan memperkukuh capaian internet di hospital dan klinik di seluruh negara.

“Tiada sebuah pun Klinik Desa di ceruk pedalaman yang akan ditinggalkan di belakang,” tegas beliau.

Tambahnya, matlamat utama transformasi digital kesihatan adalah memastikan rakyat, termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman, dapat mengakses perkhidmatan pakar berkualiti tanpa perlu menempuh perjalanan jauh.

“Transformasi digital yang hakiki adalah apabila seorang pesakit di pedalaman mampu mendapat konsultasi pakar terbaik tanpa perlu meredah perjalanan yang jauh dan memenatkan,” katanya.

Beliau yakin sinergi rentas kementerian melalui pelaksanaan PERSADA mampu mewujudkan ekosistem kesihatan yang lebih inklusif, adil dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Show More

Related Articles

Back to top button