Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan kekal kukuh

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan antara UMNO dan Pakatan Harapan yang berlangsung pada 5 Mei 2026 mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama di Negeri Sembilan.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pihak menegaskan komitmen untuk memastikan kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, majlis berkenaan turut menyatakan penghormatan terhadap pendirian yang telah diputuskan oleh Biro Politik kedua-dua parti berhubung isu di Negeri Sembilan.
“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan menghormati pendirian yang telah diputuskan oleh kedua-dua Biro Politik masing-masing dalam menyentuh isu di Negeri Sembilan,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam usaha mengelakkan sebarang ketegangan, kedua-dua pihak turut bersetuju supaya sebarang keputusan Kerajaan Negeri yang berpotensi mencetuskan sensitiviti atau perselisihan dirujuk terlebih dahulu kepada majlis berkenaan.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.



