Negeri Sembilan catat kemenangan besar 15-0 dalam aksi hoki

SEREMBAN: Pasukan hoki Negeri Sembilan mencatat kemenangan bergaya 15-0 ke atas Mutiara Impian Penang dalam satu perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Seremban 2.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, kejayaan tersebut merupakan satu pencapaian membanggakan yang mencerminkan kesungguhan serta komitmen tinggi para pemain.
“Alhamdulillah, pasukan Negeri Sembilan berjaya mencatatkan kemenangan besar 15-0, satu pencapaian yang cukup membanggakan serta membuktikan kesungguhan dan komitmen tinggi para pemain di atas padang.
“Saya berharap agar prestasi cemerlang itu dapat diteruskan dalam perlawanan akan datang dengan mengekalkan disiplin, semangat juang tinggi dan kerja berpasukan yang mantap.
“Adalah diharapkan momentum cemerlang ini dapat dikekalkan dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.
“Teruskan beraksi dengan disiplin, semangat juang yang tinggi serta kerja berpasukan yang mantap demi mengharumkan nama Negeri Sembilan di pentas sukan,” ujarnya.
Aminuddin juga merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh pasukan, barisan kejurulatihan serta semua pihak yang terlibat atas kejayaan tersebut.
Pasukan Negeri Sembilan dijadualkan menentang Perak pada Khamis ini, jam 4 petang di Stadium Hoki Seremban 2.
Orang ramai turut diseru hadir bagi memberikan sokongan kepada pasukan Negeri Sembilan.



