
SEREMBAN: Beberapa laluan utama di sekitar Taman Paroi Jaya akan ditutup sementara bagi melancarkan aliran trafik sempena penganjuran Program Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di kawasan tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Azahar Abdul Rahim, penutupan jalan akan dilaksanakan bermula jam 7 malam sehingga program selesai.
“Laluan yang terlibat ialah Jalan Kedidi serta Lorong Kedidi 1, 2, 3, 4, 5 dan 7
“Sehubungan itu, pengguna jalan raya khususnya penduduk di kawasan Taman Paroi Jaya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.
Tambah beliau, antara laluan alternatif yang boleh digunakan ialah Jalan Persiaran Merak dan Jalan Tok Dagang.
Dalam pada itu, orang ramai juga diminta supaya mematuhi arahan anggota polis yang bertugas bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang program berlangsung.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.
Program ceramah berkenaan akan dihadiri beberapa pimpinan utama Pakatan Harapan (PH) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.



