Berita

GLC, Agensi Kerajaan Digesa Turunkan Kadar Sewa Premis Bantu Peniaga Kecil – Anwar

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan diarahkan untuk mengurangkan kadar sewaan premis perniagaan kepada para peniaga mulai bulan ini sebagai langkah untuk membantu menurunkan kos operasi golongan terbabit.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selari dengan usaha kerajaan pusat yang akan melaksanakan pengurangan kadar sewa melibatkan premis milik agensi seperti Majlis Amanah Rakyat dan UDA Holdings Berhad bermula bulan ini.

“Pelaksanaan inisiatif tersebut akan diumumkan secara berperingkat mengikut daerah dalam masa terdekat, dengan mengambil contoh pendekatan yang telah dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah mengurangkan kadar sewa premis perniagaan bagi meringankan beban peniaga, khususnya golongan kecil dan penjaja,” katanya melalui satu sidang media berkaitan krisis bekalan global, hari ini.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan terdapat reaksi positif daripada kerajaan negeri termasuk Selangor yang bersedia meneliti dan melaksanakan pengurangan kadar sewa di bawah bidang kuasa masing-masing.

Menurutnya, semua kerajaan negeri diminta agar mengambil tindakan segera memandangkan pengurusan kadar sewa premis berada di bawah bidang kuasa PBT dan kerajaan negeri.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkongsi bahawa inisiatif itu diambil susulan keluhan peniaga-peniaga yang terkesan akibat kenaikan harga kos walaupun ia diakui tidak begitu melonjak berbanding sebelumnya.

“Langkah ini penting bagi mengurangkan tekanan kos yang dihadapi peniaga, terutama melibatkan peningkatan harga barangan yang walaupun kecil, namun memberi kesan dalam jangka masa panjang.

“Minggu lalu sebelum solat Jumaat saya ke gerai, warung makan di Rawang dan kakak itu, walaupun cara baik dan sopan, saya terasa keluhannya kerana terpaksa berdepan dengan kos barangan yang meningkat, walaupun kata beliau sedikit.

“Tapi sedikit (jika berlaku kenaikan) setiap minggu, jadi kalau sudah empat minggu berterusan tentunya mengesankan dan menyukarkan perniagaan beliau,” tambahnya.

Show More

Related Articles

Back to top button