
SEREMBAN: Negeri Sembilan terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya dalam industri semikonduktor dan elektrik & elektronik (E&E) menerusi penyertaan aktif dalam Program Semicon Southeast Asia 2026 yang berlangsung hari ini.
Menurut Exco Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong, industri semikonduktor merupakan antara pemacu utama perkembangan teknologi global serta memainkan peranan penting dalam usaha Malaysia beralih kepada ekonomi bernilai tambah tinggi.
“Penganjuran program ini bukan sahaja menghimpunkan pemain industri dari dalam dan luar negara, malah menjadi platform strategik untuk perkongsian idea serta penerokaan peluang kerjasama baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Teo menjelaskan Negeri Sembilan kini giat membangunkan ekosistem industri semikonduktor dan E&E yang semakin berkembang termasuk menarik kehadiran pelbagai syarikat berkaitan untuk beroperasi di negeri ini.
“Antara bidang yang sedang berkembang pesat termasuk pembungkusan dan pengujian semikonduktor, pembuatan komponen elektronik serta kejuruteraan ketepatan.
“Kehadiran pelabur ini bukan sahaja mengukuhkan rantaian bekalan tempatan, malah membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk turut serta dalam industri berteknologi tinggi,” katanya.
Tambah Teo, usaha berterusan dalam menarik pelaburan berkualiti turut membantu Negeri Sembilan beralih secara berperingkat daripada pembuatan tradisional kepada pembuatan berteknologi tinggi.
“Perkembangan ini secara tidak langsung meningkatkan peluang pekerjaan serta pembangunan bakat berkemahiran tinggi khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pembangunan infrastruktur serta kemudahan pelaburan bagi memastikan daya saing Negeri Sembilan kekal relevan dalam landskap industri berteknologi tinggi serantau.
“Kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan serta agensi berkaitan akan terus diperkasakan bagi memacu integrasi rantaian industri, sekali gus merealisasikan aspirasi menjadikan Negeri Sembilan sebagai hab pembuatan maju dan inovasi teknologi,” katanya.
Dalam pada itu, program Semicon Southeast Asia 2026 itu telah dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem industri semikonduktor negara, di samping membuka lebih banyak peluang pelaburan serta kerjasama strategik di peringkat serantau dan global.



