Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mantap

SEREMBAN: Secara umumnya koordinasi antara agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, termasuk pihak berkuasa tempatan, Pejabat Daerah, serta wakil-wakil komuniti seperti Penghulu dan JPKK, telah berjalan dengan baik dan teratur.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (PH-Sikamat) berkata, setakat ini tiada isu besar yang menjejaskan perlaksanaan projek pembangunan yang dilaporkan secara rasmi.
Kebanyakan projek yang dilaksanakan oleh agensi Kerajaan Persekutuan turut mendapat kerjasama daripada pihak negeri dan tempatan, sama ada melalui pelaporan awal dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) atau libat urus bersama Pejabat Daerah dan PBT.
Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil pendekatan proaktif dalam memastikan penyelarasan ini terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Kita tidak mengambil mudah perkara ini, kerana penyelarasan yang mantap amat penting bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan projek, serta bagi memastikan kebajikan dan keperluan komuniti tempatan sentiasa diberi perhatian.
Justeru, Kerajaan Negeri akan terus memainkan peranan aktif dalam memantau pelaksanaan projek-projek di peringkat daerah dan akar umbi, serta terus memperkukuh hubungan kerja dengan semua agensi berkaitan – demi memastikan setiap pembangunan yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan.
Aminuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Dato’ Ir.Bakri Sawir (PH) di Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15.
Bakri bertanya, berlaku banyak kes di mana perlaksanaan projek-projek pembangunan oleh agensi Kerajaan Persekutuan tidak dimaklumkan kepada ‘local authority’ termasuk pihak JPKK, Penghulu, malah Pejabat Daerah.
Dalam keadaan tertentu pihak ‘local authority’ hanya dihubungi untuk tandatangan menerima projek yang telah ‘siap’.
Ini adalah situasi yang tidak sihat.
Apakah tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri Sembilan untuk menangani isu ini supaya tidak berlarutan?