Berita

Kerjasama strategik pelancongan Tampin diperkukuh menjelang TMNS 2026

TAMPIN: Jalinan kerjasama antara kerajaan tempatan dan pemain industri pelancongan di Daerah Tampin terus diperkukuh sebagai langkah strategik merealisasikan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS 2026).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah merangkap Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam berkata, kerjasama tersebut dizahirkan menerusi Sesi Penyerahan Plak Penghargaan kepada 16 Rakan Strategik Pelancongan Daerah Tampin (RSPDT).

Majlis penyerahan itu telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin, Puan Suriani Binti Salihan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen berterusan rakan strategik dalam memajukan industri pelancongan daerah.

“Jalinan kerjasama ini menjadi antara langkah strategik dalam merealisasikan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS 2026), sekali gus memperkukuh sektor pelancongan di Daerah Tampin.

“Sebanyak 16 rakan strategik menerima penghargaan melibatkan dua kategori utama iaitu pelancongan makanan dan perkelahan serta rekreasi.

“Bagi kategori pelancongan makanan, penerima terdiri daripada Lomak Salai Tampin, Mulut Cafe’, Semangkuk Tampin, Kodai Ku-Waah Tampin, Mama Nor Tampin, Restoran Rendang Maman Acu Gemencheh dan Rendang Maman Kak Sari Gemencheh.

“Sementara itu, kategori perkelahan dan rekreasi melibatkan Tampin Water Park, Tampin XTreme Park, Rekreasi Kampung Jeram Sri Repah Tampin, Campsite Bukit Ramunia Gemencheh, De’Sawah Londah Gemas, Stesen Kereta Api Lama Gemas serta Kompleks Homestay Gemas.

“Semoga kerjasama yang terjalin ini terus diperkukuhkan bagi mengangkat Daerah Tampin sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing dan mampan,” katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ahli-ahli Majlis yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa RSPDT, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama dan komitmen padu pelbagai pihak dalam menjayakan agenda pelancongan daerah.

Show More

Related Articles

Back to top button