YB Kita

Kesihatan adil asas keadilan sosial, jurang bandar-luar bandar perlu dihapuskan

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Akses kepada perkhidmatan kesihatan yang adil perlu dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi, khususnya bagi merapatkan jurang antara penduduk bandar dan luar bandar.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, prinsip tersebut menjadi asas penting dalam usaha membina sistem kesihatan yang lebih inklusif dan menyeluruh di negeri ini.

“Kita tidak mahu wujud jurang antara bandar dan luar bandar kerana bagi kita, kesihatan yang adil adalah asas kepada keadilan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Penjagaan Primer Persatuan Perubatan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan Kali Ke-5 di Royale Chulan Seremban hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendekatan kesihatan berasaskan komuniti, di samping memperluas usaha pencegahan penyakit serta mempererat kerjasama antara sektor awam dan swasta.

“Penjagaan primer memainkan peranan penting sebagai asas kepada keseluruhan sistem kesihatan, termasuk dalam aspek pencegahan, diagnosis awal serta pembinaan kepercayaan antara doktor dan pesakit.

“Cabaran kesihatan masa kini semakin kompleks, termasuk peningkatan penyakit tidak berjangkit, populasi menua serta kos rawatan yang semakin meningkat.

“Ini menuntut tindakan yang lebih berani dan menyeluruh daripada semua pihak,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sebanyak RM2.34 juta telah diperuntukkan bagi pelbagai inisiatif kesihatan rakyat tahun ini.

Ini termasuk bantuan kepada pesakit kanser, sokongan kesihatan mental, kebajikan orang kurang upaya serta rawatan kritikal.

Aminuddin menekankan pendekatan di Negeri Sembilan bukan sekadar menyediakan perkhidmatan, sebaliknya turut menyelesaikan beban rakyat secara langsung melalui bantuan yang lebih tersusun dan berfokus.

“Kesihatan tidak seharusnya menjadi keistimewaan golongan tertentu, tetapi jaminan kepada semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Dalam majlis sama, Aminuddin turut meluangkan masa melawat reruai pameran serta beramah mesra dengan para pempamer.

Beliau turut mendengar taklimat ringkas berhubung teknologi dan inovasi yang dipamerkan, selain menyatakan hasrat untuk membawa beberapa teknologi berkenaan ke Negeri Sembilan demi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button