Berita

Ketua jabatan dan penjawat awam Negeri Sembilan wajib kibar Jalur Gemilang di kediaman

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mewajibkan semua ketua jabatan dan penjawat awam di negeri ini mengibarkan bendera Jalur Gemilang di kediaman masing-masing sehingga 16 September ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, ketua jabatan pula wajib memasang dua bendera iaitu satu bendera Malaysia dan satu bendera Negeri Sembilan.

Manakala ketua jabatan yang menetap di luar Negeri Sembilan wajib mengantung dua bendera Malaysia dan satu bendera Negeri Sembilan.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) telah mengeluarkan pekeliling mengenai arahan ini kepada hampir 7,000 penjawat awam Negeri Sembilan bagi memeriahkan lagi sambutan Kemerdekaan tahun ini.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk meningkatkan rasa cinta kepada negara sempena bulan kemerdekaan.

“Saya juga telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya lebih kreatif dalam menghias dan menyusun atur pemasangan bendera di bangunan masing-masing bagi meningkatkan suasana sambutan kemerdekaan tahun ini.

“Jangan hanya gantung dan letak di tiang, itu cara 10 dan 20 tahun lepas.

“Jadi kali ini kita ubahlah supaya nampak kemeriahan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Aminuddin menasihatkan agar pemasangan bendera dilakukan dengan betul dan menghormati simbol kedaulatan negara.

Show More

Related Articles

Back to top button