Berita

Kolam Terbiar 20 Tahun Bakal Jadi Ikon Baharu Bandaraya – MB Negeri Sembilan

SEREMBAN: Kawasan kolam yang dahulunya merupakan tapak Sekolah Convent dan terbiar lebih 20 tahun bakal melalui transformasi menyeluruh bagi menceriakan landskap bandar serta memberi nafas baharu kepada pusat bandar raya ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, kawasan berkenaan sebelum ini kelihatan tidak terurus dan kurang menarik, sekali gus menjejaskan imej persekitaran sekitarnya.

Menurut beliau, hasil inisiatif Datuk Bandar Masri Baharuddin, satu mesyuarat telah diadakan bersama pemilik tanah pada 3 Oktober 2025 bagi membincangkan hala tuju serta potensi pembangunan kawasan tersebut.

“Dalam tempoh dua bulan, kerja-kerja penambahbaikan telah dimulakan dan berjaya direalisasikan pada 11 Februari 2026. Walaupun masih terdapat beberapa perkara yang perlu ditambah baik dari semasa ke semasa, usaha ini merupakan langkah penting ke arah menceriakan landskap bandar,” katanya ketika meninjau tapak projek di Dataran Seremban, di sini.

Beliau berkata, kawasan tersebut kini dijadikan parkir sementara sebelum melalui fasa transformasi seterusnya termasuk pembinaan air pancut baharu yang dirancang menjadi antara tarikan ikonik di bandar ini.

“Kita mahu ruang ini bukan sekadar cantik dipandang tetapi menjadi tempat rakyat berkumpul, beriadah dan menikmati suasana bandar yang lebih hidup,” katanya.

Tambah beliau, pembangunan bandar perlu dilaksanakan secara seimbang antara fungsi dan estetika selaras dengan aspirasi menjadikan Seremban sebagai bandar raya yang lebih moden, tersusun dan beridentiti.

Beliau turut berharap agar segala perancangan berjalan lancar serta memberi nilai tambah kepada warga bandar dan pelawat yang berkunjung ke Negeri Sembilan.

Show More

Related Articles

Back to top button