Berita

Komuniti Orang Asli tidak dipinggirkan dari mendapat akses sama rata dalam pendidikan pencegahan dadah

JELEBU: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Jelebu telah mengadakan Karnival Gaya Hidup Sihat @ Kampung Orang Asli Rangoi, Triang Hilir, Jelebu yang dihadiri lebih 200 orang komuniti Orang Asli.

Ia program pertama seumpamanya yang dianjurkan bersama komuniti Orang Asli di Jelebu, dengan matlamat utamanya adalah untuk memperluas akses pendidikan pencegahan dadah dan amalan gaya hidup sihat secara adil dan menyeluruh tanpa mengira latar belakang kaum.

Pegawai Politik kepada Ahli Parlimen Jelebu, Noor Azmi Yusof, telah merasmikan karnival ini yang telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari komuniti setempat.

Pelbagai aktiviti sihat telah dianjurkan seperti sukaneka rakyat dan keluarga, pertandingan sumpit, pemeriksaan kesihatan dan gotong-royong membersihkan kampung yang telah dijalankan dari awal pagi.

Turut hadir, Penolong Pengarah Cawangan Pencegahan AADK Negeri Sembilan, Norzulaika Mansor; Pakar Kesihatan Awam PKD Jelebu, Dr.Nur Adibah Shaharul dan Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Jelebu, Mohammad Faiz Md Nor.

Karnival Gaya Hidup Sihat ini dianjurkan untuk memperkenalkan masyarakat di sini kepada inisiatif Sukarelawan Antidadah (SKUAD Antidadah), menggalakkan komuniti menjalankan aktiviti pembersihan kampung secara berkala bagi mengelakkan penularan kes Demam Malaria yang dikendalikan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu.

Karnival ini juga bertujuan untuk mengajak komuniti untuk mempergiat aktiviti sukan dan riadah bersama keluarga serta menyampaikan sedikit informasi bermanfaat melalui sesi ‘Pocket-Talk’ dari AADK Jelebu serta Unit Kesihatan Awam PKD Jelebu.

Susulan dari penganjuran program ini, kami berharap agar ia mampu mendidik masyarakat bahawa kesedaran tentang bahaya dadah bukan milik eksklusif mana-mana komuniti, tetapi ianya hak bersama seluruh rakyat Malaysia dan komuniti Orang Asli juga tidak harus tercicir daripada usaha membina masyarakat yang sihat dan bebas dari pengaruh dadah.

AADK Daerah Jelebu ingin merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan dan semangat luar biasa dari komuniti Orang Asli dan semua rakan strategik yang hadir.

Ini adalah bukti bahawa semua pihak mampu menjadi agen perubahan dalam membanteras isu dadah dan membudayakan gaya hidup yang sihat.

Semoga program seperti ini dapat meningkatkan kesedaran komuniti dalam memerangi ancaman dadah hingga ke peringkat akar umbi.

Show More

Related Articles

Back to top button