Koperasi Negeri Sembilan belajar model perniagaan koperasi yang berjaya

MELAKA: Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam telah mengetuai rombongan Program Eksplorasi Pasaran dan Jaringan Perniagaan (EKSPANSI) bersama Gerakan Koperasi Negeri Sembilan, Negeri Sarawak dan Sabah ke Negeri Melaka Sempena Hari Koperasi Negara 2025.
Veerapan berkata, program ini berobjektifkan untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman koperator tentang pengurusan koperasi yang berdaya maju dimana Negeri Melaka dipilih sebagai lokasi kerana terdapat beberapa koperasi yang berjaya dan aktif di negeri tersebut yang boleh dijadikan sebagai contoh serta rujukan.
“Tambahan lagi, program ini juga bertujuan untuk menjalin hubungan kerjasama dengan koperasi lain di Negeri Melaka disamping mempelajari model perniagaan koperasi berjaya seperti koperasi pelancongan, koperasi rumah berpantang, dan koperasi pengguna.
“Dalam program ini, tempat yang dilawati adalah Koperasi Atas Amben Malaysia Berhad iaitu koperasi yang menjalankan operasi rumah pantang sebagai model perniagaan.
“Selain itu, saya bersama Pengarah SKM Negeri Sembilan juga menyaksikan majlis tandatangan MoU antara Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad dan Koperasi Kolej Vokasional Port Dickson Berhad.
“Para peserta juga dibawa menaiki bot menyusuri sepanjang Sungai Melaka dan diberikan penerangan berkaitan model perniagaan berlandaskan pelancongan di atas air oleh Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka(PPSPM),” ujar Veerapan.
Veerapan berkata, pada akhir program, para peserta diberikan pendedahan berkaitan koperasi pelancongan oleh Koperasi Abang Beca Berhad tentang operasi dan pengurusan dan diberikan peluang menaiki beca mengelilingi bandar Melaka itu sendiri.
“Diharap dapatan para peserta menerusi program ini dapat dimanfaatkan menerusi strategi yang mantap dengan memperkukuh jaringan kerjasama antara koperasi bagi ketiga-tiga negeri yang hadir disamping memperkasakan lagi gerakan koperasi supaya dapat mencapai pertumbuhan ekonomi di setiap bidang terutamanya pelancongan,” jelas beliau.
Program ini telah dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Sembilan.
Program ini turut dihadiri Pengarah SKM Cawangan Negeri Sembilan, Radiatul Fitri Dollah; wakil gerakan koperasi serta para pegawai yang berkaitan.