Kopiesatu buka cawangan keempat di Negeri Sembilan, Usaha FAMA bantu usahawan tempatan
SEREMBAN: Cawangan keempat Kopiesatu di Negeri Sembilan yang terletak di Dataran Senawang merupakan sebahagian daripada inisiatif Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memperluas peluang keusahawanan menerusi jenama kopi tempatan ini.
Cawangan berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin bin Harun disini.
Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik FAMA dalam menyediakan platform pemasaran serta memperluas peluang keusahawanan khususnya dalam sektor makanan dan minuman (F&B) berasaskan kopi tempatan.
“Pembukaan Kopiesatu di Dataran Senawang mencerminkan usaha berterusan FAMA dalam memperkasakan jenama kopi tempatan di peringkat negeri,” katanya sewaktu ditemui dalam sidang media.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada FAMA kerana menjadi peneraju pembangunan francais Kopiesatu yang disifatkan sebagai satu inisiatif baik dalam industri F&B.
“Saya melihat Kopiesatu sebagai jenama kopi tempatan yang mampu memberi cabaran sihat kepada pasaran di samping menjadi sokongan penting kepada usaha-usaha tempatan untuk terus berkembang. Ini merupakan satu langkah yang wajar diperkasakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan model francais Kopiesatu sebagai satu peluang terbaik kepada anak muda memandangkan bayaran penyertaan yang minimum serta pakej yang fleksibel sekali gus mampu menarik penyertaan peniaga kecil dan usahawan baharu.
“Hari ini budaya minum kopi sudah menjadi satu keperluan. Ke mana sahaja kita pergi, kopi sentiasa ada termasuk dalam mesyuarat dan urusan harian. Dengan bayaran francais yang rendah, peluang ini mampu direbut oleh anak-anak muda,” katanya.
Tambah beliau, FAMA perlu mempercepatkan usaha memperluaskan bilangan francais atau cawangan Kopiesatu bagi membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda untuk menceburi bidang keusahawanan dan membina kejayaan pada masa hadapan.
Menurut kenyataan FAMA, model pelesenan Kopiesatu diperkenalkan bagi membantu usahawan berkembang secara mampan melalui sokongan menyeluruh merangkumi pendaftaran, latihan, penggunaan sistem jualan (POS), penyediaan set uniform rasmi, promosi dan hebahan, pemantauan operasi serta kawalan kos berkaitan.
Pengerusi FAMA, Tuan Haji Aminuddin bin Zulkipli berkata FAMA turut menawarkan beberapa pakej perniagaan di bawah pelesenan Kopiesatu antaranya Pakej Kiosk, Pakej Food Truck sama ada baharu atau sedia ada serta Pakej Push Cart yang memberi fleksibiliti kepada usahawan mengikut kesesuaian lokasi dan kapasiti perniagaan masing-masing.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan lebih ramai usahawan tempatan dapat menyertai industri kopi secara tersusun, berdaya saing dan berpotensi untuk berkembang,” katanya.
Cawangan Kopiesatu Dataran Senawang mula beroperasi pada 1 Januari 2026 dan menerima sambutan positif daripada masyarakat setempat.
Sehingga kini, FAMA telah membangunkan sebanyak 23 cawangan Kopiesatu di seluruh negara sama ada di bawah seliaan FAMA atau melalui pelesenan kepada usahawan.




