Krisis Politik Jadi Pengajaran, Jentera PH Perlu Bersiap Siaga – Aminuddin

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menegaskan bahawa kemelut politik yang berlaku perlu dijadikan pengajaran penting dalam memperkukuh kestabilan negeri.
Menurut beliau, seluruh ahli dan penyokong dalam Pakatan Harapan (PH) perlu meningkatkan kesiapsiagaan jentera sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
“Kita kena bersiap sedia. Kita kena bekerja sebagai satu pasukan. Jentera parti mesti digerakkan dan diperkukuhkan dari sekarang bagi memastikan kemenangan,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Perdana Pimpinan Utama Pakatan Harapan yang berlangsung Di Stadium Tuanku Abdul Rahman disini.
Tambah Aminuddin, situasi semasa menuntut semua kerajaan negeri agar tidak leka, sebaliknya terus memperkemas gerak kerja serta memperkukuh sokongan rakyat.
Dalam masa sama, Aminuddin menegaskan bahawa kestabilan negeri tetap menjadi keutamaan, dan kerajaan negeri akan terus memberi fokus kepada pembangunan serta kebajikan rakyat.
“Kita tidak boleh hanya bercakap soal politik semata-mata. Apa yang penting ialah bagaimana kita meringankan beban rakyat, memastikan pendidikan anak-anak terus terjaga dan ekonomi negeri berkembang,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata keyakinan pelabur terhadap Negeri Sembilan kekal kukuh apabila terdapat syarikat yang menyatakan hasrat untuk melabur di negeri itu.
“Perkembangan pelaburan ini membuktikan bahawa kestabilan dan keyakinan terhadap pentadbiran negeri masih terpelihara walaupun berdepan situasi politik semasa
“Ini yang harus kita tunjukkan. Kita mahu pelaburan terus masuk dan meningkat kerana ia memberi manfaat kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Aminuddin turut menyifatkan apa yang berlaku sebagai ujian kepada kepimpinan serta parti, namun yakin dengan sokongan rakyat dan kekuatan jentera Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan akan terus kekal stabil.
Dalam pada itu, ceramah berkenaan turut dihadiri barisan kepimpinan utama Pakatan Harapan termasuk Saifuddin Nasution Ismail, Loke Siew Fook, Mohamad Sabu, Aiman Athirah Sabu serta M K Ibrahim Abd Rahman yang tampil memberi penjelasan berhubung situasi semasa kepada rakyat.
Program tersebut diadakan bagi memperkukuh sokongan, selain memberi penerangan kepada orang ramai mengenai perkembangan politik dan hala tuju negeri.


