Stabiliti Politik, Ekonomi dan Kebajikan Rakyat Jadi Keutamaan Kerajaan Perpaduan
Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Stabiliti politik, pertumbuhan ekonomi serta kebajikan rakyat kekal menjadi fokus utama Kerajaan Perpaduan.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga keutamaan itu bukan sahaja menjadi asas pembentukan kerajaan, malah telah diterjemahkan dalam pentadbiran sejak tiga tahun lalu.
“Kekuatan Kerajaan Perpaduan terletak pada nilai kepercayaan dan saling menghormati antara pimpinan.
“Kerajaan ini dibina atas asas kepercayaan dan hormat. Nilai ini membolehkan pentadbiran berjalan dengan baik.
“Ini sebagaimana yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun yang berjaya mengekalkan kestabilan dan kemenangan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Pimpinan Utama PH di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, pada malam Rabu.
Menurutnya, ketika dunia berdepan krisis susulan konflik di Asia Barat, Malaysia turut menerima tempias termasuk risiko krisis tenaga berikutan kira-kira 60 peratus bekalan minyak mentah perlu melalui Selat Hormuz.
“Keadaan ini menyebabkan kos penghantaran kapal dan insurans meningkat, namun kerajaan tetap berusaha mengekalkan harga minyak pada kadar RM1.99 demi kepentingan rakyat.
“Ia bukan keputusan mudah, namun kerajaan terus berikhtiar memastikan bekalan mencukupi dan harga kekal terkawal.
“Dalam keadaan itu, berlaku isu kestabilan politik di Negeri Sembilan, dan kita rasa terkilan,” tambahnya.
Oleh itu, perkembangan global tersebut turut dibincangkan secara berkala dalam Majlis Tindakan Ekonomi bagi memastikan langkah proaktif dapat diambil.
Ini merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, manakala kestabilan ekonomi negara kekal dipertahankan.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejutan politik yang berlaku di Negeri Sembilan turut membawa hikmah, antaranya mengajar kepentingan membina kekuatan parti sendiri.
“Kita tidak berjaya hanya kerana lawan lemah, sebaliknya kita kuat dengan kekuatan sendiri. Kita juga perlu menerima hakikat bahawa tiada parti dominan mampu membentuk kerajaan secara bersendirian.
“Era politik lama berasaskan ‘kita lawan mereka’ perlu diubah kepada pendekatan lebih inklusif. Dalam suasana ini, politik ‘us versus them’ perlu digantikan dengan ‘we are together‘,” katanya.


