Berita

KUALA PILAH: Dua kampung Orang Asli dikuarantin akibat wabak kusta

KUALA PILAH: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan telah mengambil langkah mengkuarantin dua buah perkampungan Orang Asli di Kuala Pilah kerana menghidap penyakit kusta yang menyebabkan satu kes kematian.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, dua buah kampung tersebut ialah Kampung Chergun dan Kampung Guntur.

“Seramai lima orang disahkan menghidap penyakit kusta di Kampung Chergun, manakala empat penduduk Kampung Guntur turut dikesan dijangkiti penyakit kusta.

“Mangsa yang meninggal dunia seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dari Kampung Chergun.

“Pesakit ini mengalami demam selama seminggu sebelum meninggal dunia.

“Saringan secara agresif telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan kepada semua penduduk kedua-dua kampung berkenaan.

“Walau bagaimanapun hanya 65 peratus yang telah laksanakan saringan tersebut,” jelas Aminuddin.

Menurut Aminuddin lagi, sebagai langkah pencegahan Kerajaan Negeri telah menutup kawasan rekreasi Jeram Tengkek yang berhampiran dengan perkampungan Orang Asli tersebut.

Dalam pada itu, Exco (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi, Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau telah meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Sri Dato’ Bibi Sharliza Mohd Khalid untuk mengagihkan bekalan makanan dan minuman kepada penduduk Kampung Cherun dan Kampung Guntur.

Show More

Related Articles

Back to top button