BeritaMenarik

Langkah baiki prestasi pasukan bola sepak Negeri Sembilan sedang diambil

Negeri Sembilan FC (NSFC) di bawah Negeri Sembilan Football Club Sdn Bhd telah menamatkan saingan Liga Malaysia 2023 di tempat kesembilan.

Peranan NSFC ialah untuk bertanding secara profesional dan kompetitif di Liga Malaysia dengan kewujudan pasukan Liga Super, bawah 23 tahun, bawah 20 tahun dan bawah 18 tahun manakala PBNS lebih terarah kepada pembangunan sukan bola sepak di peringkat negeri dengan penganjuran liga tempatan, kursus kejurulatihan dan pembangunan pengadil.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Mustapha Nagoor (Palong-BN) berkata, setakat 25 November 2024, sebanyak 15 perlawanan telah dilalui di mana Skuad Jang hanya satu kali merekodkan kemenangan liga, tiga kali seri perlawanan liga, sembilan kali kalah perlawanan liga, sekali tewas perlawanan Piala Malaysia dan satu kali tewas perlawanan Piala FA.

Bagi mengatasi masalah prestasi pada musim ini, beberapa langkah sedang diambil oleh pihak pengurusan NSFC bagi memperbaiki prestasi pasukan untuk musim yang akan datang.

“Program, ‘talent scouting’ serta ‘player recruitment’ telah dimulakan bagi persediaan musim hadapan bagi memastikan perancangan yang lebih rapi.

“Mengikut unjuran kewangan tahun ini, NSFC juga akan menamatkan tahun 2024 dengan keadaan yang lebih baik, justeru itu, membolehkan kelab mendapatkan pemain yang lebih berkualiti pada musim hadapan.

“Beberapa pemain yang menunjukkan prestasi yang memberangsangkan juga telah berada di dalam perbincangan bagi lanjutan kontrak musim hadapan.

“Lima pemain bawah-20 tahun juga telah diserap untuk bersama pasukan Liga Super sehingga tamat musim,” ujar Mustapha.

Program pembangunan bola sepak di Negeri Sembilan

Menurut Mustapha, Program Pembangunan Bola Sepak di Negeri Sembilan secara umumnya telah dilaksanakan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan dengan kerjasama pelbagai agensi antaranya Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Majlis Sukan Negeri serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan.

“Satu jawatankuasa telah ditubuhkan melibatkan wakil-wakil dari Negeri Sembilan Football Club, Jabatan Pendidikan Negeri, Majlis Sukan Negeri, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (Majlis Sukan Negara Malaysia), Jabatan Belia dan Sukan serta wakil kelab komuniti.

“Pemegang-pemegang taruh yang disenaraikan merupakan agensi-agensi yang memiliki program pembangunan sukan bola sepak mereka sendiri.

“Justeru itu, tujuan jawatankuasa ini digerakkan ialah bagi membolehkan semua pemegang taruh bergerak atas misi dan visi yang sama, serta mengembelingkan tenaga membangunkan bola sepak Negeri Sembilan,” jelas beliau.

Perincian program pembangunan tersebut adalah seperti berikut:

1. Program Bawah 10 tahun dan Bawah 12 tahun

Melalui jawatankuasa ini, beberapa aktiviti dan keputusan telah diambil.

Pertama, NSFC telah menubuhkan pasukan akademi bawah 10 tahun dan bawah 12 tahun bagi memastikan bakat-bakat tempatan mempunyai platform dan laluan bakat yang lebih jelas di bawah NSFC.

Kedua, NSFC juga akan memperkasa hubungan dengan Sekolah Sukan Negeri Sembilan (SMK Za’ba, Kuala Pilah) dengan memperbaharui ‘Memorandum of Understanding’ yang telah dimeterai sebelum ini.

Skuad bawah 14 dan bawah 17 tahun daripada Sekolah Sukan Negeri Sembilan akan membentuk skuad NSFC bawah 14 dan bawah 17 tahun.

Di samping itu, Kejohanan Bola Sepak ‘Jang Junior Challenge’ atau JJC telah diperkenalkan.

Program ini merupakan platform kejohanan bagi mencari bakat bawah 12 tahun di seluruh Negeri Sembilan dan dianjurkan di lokasi-lokasi luar bandar.

2. Program Bawah 17 tahun

Pada tahun ini juga, NSFC dengan kerjasama PBNS telah menganjurkan Liga KELME Bawah 17 Tahun Negeri Sembilan melibatkan lapan pasukan sekolah dan akademi dari seluruh Negeri Sembilan.

Para pemain terbaik yang beraksi di liga ini akan ditawarkan melanjutkan pengajian ke Kolej Yayasan Negeri Sembilan dan membentuk skuad NSFC bawah 18 tahun bagi tahun 2025.

3. Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP)

Program Pembangunan Bola Sepak Negara ini telah dilaksanakan sejak tahun 2014 bagi peringkat umur tujuh hingga 17 tahun.

Bermula dengan Akademi Tunas (7-12 tahun), Pusat Latihan Daerah dan Negeri (13-17 tahun).

Di Negeri Sembilan, terdapat lima Akademi Tunas, lima Pusat Latihan Daerah dan sebuah Pusat Latihan Negeri (SMK Za’ba).

Mustapha berkata demikian semasa menjawab pertanyaan ADUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi (BN) pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban.

Show More

Related Articles

Back to top button